Algeria, Perancis meterai perjanjian baharu berkaitan ekstradisi penjenayah


Perjanjian itu ditandatangani Menteri Keadilan Perancis Nicole Belloubet yang berkunjung ke Algeria dan rakan sejawatnya, Tayeb Louh, di ibu kota Algiers. – Gambar EPA, 28 Januari, 2019.

ALGERIA dan Perancis semalam menandatangani satu konvensyen baharu bagi ekstradisi penjenayah sebagai sebahagian kerjasama kehakiman dan keselamatan antara kedua-dua negara, lapor agensi berita China Xinhua memetik Algeria Press Service (APS).

Perjanjian itu ditandatangani Menteri Keadilan Perancis Nicole Belloubet yang berkunjung ke Algeria dan rakan sejawatnya, Tayeb Louh, di ibu kota Algiers.

Ia meliputi kerjasama dalam bidang bantuan perundangan, antikeganasan dan pertukaran maklumat, lapor APS.

“Perjanjian ini bakal menyelaras pertukaran antara kami serta memudahkan pelaksanaan permohonan ekstradisi tertentu dan pada masa yang sama, memastikan perasaan saling menghormati nilai asas kedua-dua negara,” menurut kenyataan Kedutaan Perancis di Algeria.

Belloubet tiba pada lewat Ahad di Algiers untuk lawatan dua hari bagi membincangkan dan bertukar-tukar pandangan berkaitan pemodenan keadilan. – Bernama, 28 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen