Kit Siang akui orang Melayu masih anggap Pakatan sebagai ancaman 


Yeoh Cheong Ee

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang hari ini berkata kerajaan hari ini tidak boleh mengabaikan masyarakat luar bandar daripada pembangunan arus perdana.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 28 Januari, 2019

PAKATAN Harapan masih belum berjaya meyakinkan pengundi Melayu yang mesej “Malaysia Baharu” yang dibawa bukan satu ancaman, kata veteran DAP Lim Kit Siang hari ini.

Ditanya mengenai strategi yang diperlukan pakatan pemerintah untuk meyakinkan pengundi Melayu berikutan kekalahannya pada pilihan raya kecil Cameron Highlands, beliau berkata, mereka perlu membantu pengundi Melayu untuk faham bahawa keterangkuman itu tidak akan mengancam kepentingan mereka.

“Keputusan itu menunjukkan perjalanan kita masih jauh lagi.

“Kita perlu pastikan mereka faham bahawa Malaysia Baharu akan memenuhi aspirari semua rakyat Malaysia dan ia bukan satu ancaman,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku di Petaling Jaya hari ini.

“Kita sedar dari kekalahan, yang kita perlu meningkatkan kecekapan dalam melaksanakan dasar kita,” kata beliau yang juga ahli Parlimen Iskandar Puteri dan menambah kegagalan PH pada pilihan raya kecil baru-baru ini merupakan pengajaran yang baik kepada semua parti komponennya.

Beliau turut mengakui walaupun terdapat jurang kecil antara pengundi Melayu dan Orang Asli, ia tidak cukup signifikan bagi “mengatasi kekuatan gabungan Umno dan PAS” pada pilihan raya Cameron Highlands.

Katanya, dua parti Melayu itu menggunakan “politik toksik dan pembohongan, perkauman dan agama” dan menolak tanggapan bahawa pengundi sudah muak untuk mendengar naratif PH menegnai kerajaan Barisan Nasional sebelum ini yang korup.

“Saya tidak rasa begitu. Masalahnya ialah di DUN Jelai yang mana majoritinya adalah Melayu dan Orang Asli…dan sukar untuk atasi pembohongan toksik dan kepalsuan BN.

BN memenangi pilihan raya kecil itu dengan majoriti 3,238 undi berbanding calon PH dan dua orang calon bebas. Ia adalah peningkatan majoriti berbanding 597 pada PRU14 tahun lepas.

Lim, yang turut berkempen di Cameron Highlands dalam tempoh dua minggu yang lalu, memberitahu hadirin di pelancaran buku bahawa PH terpaksa menangani sensitiviti dan kebimbangan sektor tertentu.

Agenda PH tidak boleh mengabaikan kawasan luar bandar yang akan merasa terpinggir walaupun seluruh negara telah berubah.

Beliau berkata PH akan sekali lagi diuji pada pilihan raya kecil DUN Semenyih pada 2 Mac, kerana Umno dan PAS sekali lagi dijangka bergabung kuasa dan menggunakan “politik toksik” mereka.

“Pilihan raya kecil Semenyih akan lebih menarik, menjangkakan Umno dan PAS mengulangi strategi toksik mereka. Ia sangat memberi kesan kepada PH jika BN-PAS menang di Semenyih,” katanya. – 28 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen