Bermula projek tandas, Epic Homes bina semula komuniti


Muzliza Mustafa

Sukarelawan Epic Homes membina sebuah rumah di Kampung Orang Asli, Serendah yang hanya mengambil masa tiga hari sahaja. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 April, 2017.

SEMUANYA bermula pada 2010 apabila pengasas Epic Homes, John Son Oei dan beberapa rakannya memutuskan jika mereka mahu sesuatu dilaksanakan, satu-satunya cara adalah melakukannya sendiri.

Justeru, mereka memulakan perjalanan membantu masyarakat yang ketika itu hanya projek sampingan dikenali sebagai Epic Project.

“Kami mempunyai persepsi orang hanya mengambil berat tentang diri sendiri, dan bersikap ‘tidak apa’ tetapi sebenarnya ramai rakyat Malaysia yang mengambil berat dan ingin melakukan sesuatu serta menyumbang kepada masyarakat,” kata Son kepada The Malaysian Insight.

Mereka membuat keputusan mengenai projek pertama - mengecat semula 12 buah rumah di sebuah perkampungan Orang Asli di Kuala Kubu Baru.

Namun, ia bukan satu-satunya perkara yang mereka akhirnya lakukan untuk kampung itu. Ini kerana rupa-rupanya banyak lagi yang diperlukan Orang Asli di sana selain mengecat.  Mereka memerlukan tandas.

Perbualan dengan seorang kenalan di kampung mendedahkan  kebanyakan rumah dibina tanpa tandas dan Orang Asli terpaksa melepaskan “hajat” di dalam semak.

“Itu adalah satu perkara yang sangat merisaukan apabila kami mengetahuinya. Jadi, kami memutuskan perlu membina tandas untuk mereka dan melakukannya dengan bantuan sukarelawan serta individu tidak dikenali,” kata Son.

Tandas itu bukan sahaja untuk penduduk kampung, katanya, tetapi juga para guru yang mengajar kanak-kanak Orang Asli, yang keciciran sekolah.

“Dengan tandas itu, sekurang-kurangnya guru mungkin mahu datang lebih kerap atau tinggal lebih lama untuk mengajar kanak-kanak Orang Asli,” kata Son.

Mereka mencari penaja untuk menampung kos pembinaan tandas, yang menelan kos kira-kira RM3,500 termasuk pengangkutan, makanan untuk sukarelawan dan bahan.

Usaha mereka disiarkan di Facebook dan dalam masa yang singkat, mereka mendapat lebih 50 sukarelawan bagi projek itu.

Kejayaan projek pertama membuatkan mereka teruja dan ketika itu mereka terjumpa lelaki yang mempunyai rumah hampir runtuh.

“Sebahagian tembok hilang. Terdapat lubang di lantai… bumbung sebahagiannya runtuh.”

Pada mulanya, mereka mahu mengumpul dana dan mendapatkan orang tua itu rumah yang lebih sempurna.

“Kami mempunyai cara berfikir ‘Oh, kasihan Orang Asli, izinkan saya membantu’. Itu fikiran kami ketika itu. Kami lupa tentang hubungan dan melihat mereka seperti mangsa.

“Kemudian, kami bertanya kepada diri sendiri bagaimana kami boleh melakukannya dengan cara berbeza,” kata Son.

Ketika itulah mereka memperolehi idea membina sebuah rumah dalam masa tiga hari dan mendapatkan sukarelawan untuk melaksanakannya.

Ia mengambil masa kira-kira tujuh bulan bagi Son dan rakan untuk meyakinkan pemaju turut serta dan menyokong projek mereka.

Dengan bantuan pemaju, profesional bangunan dan sukarelawan, mereka berjaya membina rumah dalam tempoh tiga hari.

Apa yang bermula sekadar cakap kosong di kalangan rakan, akhirnya menjadi projek sepenuh masa bagi Son dan rakannya.

“Kami mahu mencipta platform yang memberi peluang kepada rakyat untuk berkhidmat, kerana ada yang benar-benar mahu melakukan sesuatu. Mereka hanya tidak tahu bagaimana dan selalunya hanya meletakkan wang ke dalam kotak derma.

“Banyak syarikat mula menghampiri kami, mahu menjadi sebahagian daripada projek itu. Untuk menjadikannya lebih mampan, kami muncul dengan banyak idea dan berjaya bekerjasama dengan beberapa yayasan dan organisasi untuk membina rumah untuk komuniti,” kata Son.

Son dan rakan menubuhkan Epic Homes, menjual idea membina rumah untuk golongan kurang bernasib baik sebagai sebahagian daripada pembangunan diri serta pembinaan pasukan.

Beliau berkata, beberapa syarikat hanya mahu menaja kos pembinaan rumah, manakala yang lain mahu menjadi sebahagian pasukan membinanya.

“Oleh itu, mereka yang menaja rumah, kami akan membuka slot untuk sukarelawan awam di mana mereka boleh mendaftar dan menyertai kami membina rumah. Kami tidak membuat sebarang keuntungan daripada pembinaan rumah,” kata Son.

Terdapat pelbagai model rumah, bergantung kepada saiz keluarga, bermula dari RM43,000 hingga RM55,000 bagi sebuah rumah.

Homes Epic setakat ini sudah membina 98 buah rumah di lima negeri sejak 2010 dan 100 lagi akan dibina bulan depan.

Organisasi ini juga turut membantu mengumpulkan 5,000 sukarelawan sejak projek pertamanya. Antaranya terdiri daripada kalangan kawan, penduduk tempatan, dan individu yang datang dari seluruh dunia untuk menghulurkan bantuan membina rumah lebih sempurna bagi mereka yang tidak bernasib baik.

“Projek tidak berakhir apabila rumah itu didirikan tetapi ia lebih kepada suatu permulaan. Ia merapatkan jurang antara kedua-dua komuniti yang sebaliknya tidak akan berinteraksi antara satu sama lain dalam keadaan biasa.

“Ia membawa peluang lain kepada penaja dan individu untuk melakukan lebih banyak bagi masyarakat yang sama pada masa depan,” kata Son. – 4 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen