ANGKA korban akibat hujan lebat yang mencetuskan insiden tanah runtuh dan banjir di sebuah pulau di Indonesia meningkat kepada 68 orang, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan agensi pengurusan bencana negara itu pada Ahad.
Sekurang-kurangnya 47 cedera manakala tujuh lagi masih hilang di Pulau Sulawesi yang dilanda bencana, kata Sutopo Purwo Nugroho, jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional.
Hujan lebat melanda sekurang-kurangnya 13 daerah di seluruh pulau itu termasuk Makassar, ibu kota wilayah Sulawesi Selatan.
Lebih 6,700 mangsa dipindahkan ke kawasan selamat, kata Nugroho.
Sementara itu, Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla dalam satu kenyataan menyebut bahawa kerajaan akan membayar wang pampasan sebanyak 15 juta rupiah (kira-kira AS$1,066) bagi setiap korban kepada keluarga mangsa.
Insiden banjir dan tanah runtuh memusnahkan kediaman, bangunan kerajaan, sekolah dan jambatan.
Tanah runtuh dan banjir sering berlaku di Indonesia, terutama semasa musim tengkujuh antara Oktober dan April, ketika hujan lebat melanda kepulauan tropika yang luas itu. – Bernama, 28 Januari, 2019.
Komen