Peru setuju pencilkan kerajaan Maduro


Kerajaan pimpinan Nicolas Maduro perlu dipencilkan bagi mewujudkan semula demokrasi di Venezuela dengan mengadakan pilihan raya bebas. – Gambar EPA, 28 Januari, 2019.

MENTERI Hal Ehwal Luar Peru Nestor Popolizio mengesahkan langkah berbeza perlu diambil untuk memencilkan kerajaan pimpinan Nicolas Maduro bagi mewujudkan semula demokrasi di Venezuela dengan mengadakan pilihan raya bebas.

“Itulah yang perlu dilakukan. Akaun bank pemimpin rejim itu hendaklah dibekukan, kemasukan mereka ke negara kita perlu diharamkan, dan langkah ekonomi lain perlu diteliti untuk benar-benar memencilkan rejim Maduro,” katanya kepada radio RPP dan stesen berita TV.

Dalam hal ini, menteri itu menegaskan sokongan Peru dan negara Amerika Latin lain serta negara Eropah yang memihak kepada presiden sementara Venezuela, Juan Guaido.

“Pengasingan Maduro harus menjadi keutamaan,” katanya merujuk kepada ultimatum sekumpulan negara Eropah yang mahukan pilihan raya bebas diadakan di negara Bolivarian itu.

Selain itu, Popolizio berkata adalah penting untuk meyakinkan negara lain seperti China dan Rusia bahawa kepentingan negara Amerika Latin itu akan dicerminkan dengan lebih baik jika mereka menyokong peralihan yang dicadangkan oleh presiden sementara (Juan Guaido), yang disokong oleh rakyat Venezuela.

“Terdapat negara yang tidak menzahirkan sokongan mereka kepada Guaido, yang lain bertindak mengiktiraf Maduro, dan kami percaya bahawa sedikit demi sedikit, dengan tekanan antarabangsa yang diperlukan, negara penting lain akan dapat diyakini,” katanya. – Bernama, 28 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen