RIBUAN orang turun ke jalan-jalan di Paris semalam bagi membantah tunjuk perasaan antikerajaan oleh pergerakan Ves Kuning yang berlangsung selama berminggu-minggu, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Kumpulan itu yang menggelar diri mereka sebagai Skarf Merah berhimpun di Dataran Negara di Paris dan berarak ke Dataran Bastille Square, sambil melaungkan “cukup cukuplah” dan “hentikan keganasan”.
Laurent Soulie, seorang jurutera aeronautik berusia 51 tahun, memberitahu pemberita bagi pihak kumpulan itu bahawa mereka memahami kemarahan Ves Kuning dan ia sah di sisi undang-undang, namun keganasan yang berlaku semasa tunjuk perasaan itu tidak dapat diterima.
Lebih 10,000 orang, kebanyakannya memakai skarf merah, menyertai perarakan itu, menurut polis Paris.
Tunjuk perasaan Ves Kuning, yang bermula sebagai reaksi kepada kenaikan cukai minyak dan bertukar kepada satu tunjuk perasaan terhadap Presiden Perancis Emmanuel Macron, berterusan meskipun kerajaan meminta mereka menghentikannya.
Sejak 17 November, ribuan penunjuk perasaan yang memakai ves berwarna kuning terang, digelar Ves Kuning, berhimpun di bandar-bandar utama Perancis termasuk Paris, bagi membantah kenaikan cukai minyak kontroversi Macron dan situasi ekonomi negara itu yang semakin merosot.
Penunjuk perasaan mengadakan bantahan dengan menghalang jalan raya selain laluan masuk dan keluar stesen minyak serta kilang-kilang di seluruh negara.
Sekurang-kurangnya 10 terkorban manakala kira-kira 6,000 orang ditahan dan lebih 2,000 lagi cedera dalam tunjuk perasaan itu. – Bernama, 28 Januari, 2019.
Komen