KEBIMBANGAN mengenai kemungkinan empangan kedua pecah di kompleks perlombongan Brazil berkurangan pada Ahad, membolehkan operasi mencari dan menyelamat lebih 300 orang yang masih hilang selepas runtuhan empangan yang menyebabkan 58 orang terbunuh diteruskan.
Pembesar suara memberi amaran pada jam 5.30 pagi (waktu tempatan) kepada penduduk yang tinggal berhampiran kompleks perlombongan Corrego do Feijao di selatan Brazil, berhubung paras air di tahap bahaya, menurut pemilik lombong itu Vale.
Pekerja di kompleks berkenaan masih merasakan trauma selepas penghadang di lokasi itu pecah pada Jumaat, menyebabkan berjuta-juta tan lumpur mengalir deras merempuh bangunan, kediaman dan jalan raya.
Pasukan bomba menghentikan operasi mencari dan menyelamat bagi memulakan pemindahan penduduk berhampiran kawasan berkenaan.
Namun beberapa jam kemudian, pasukan pertahanan awam memberi lampu hijau untuk meneruskan operasi.
“Tiada lagi risiko ia akan pecah,” kata Leftenan Kolonel Flavio Godinho, yang merupakan jurcakap kepada agensi pertahanan awam Brazil, yang menjelaskan paras air di empangan terlibat sudah dikurangkan.
“Pencarian diteruskan melalui darat, menggunakan pesawat dan anjing pengesan.
Berpuluh helikopter dikerahkan ke lokasi berikutan keadaan lumpur yang tebal menyukarkan laluan menerusi jalan darat. – AFP, 28 Januari, 2019
Komen