ISTERI Presiden Syria Bashar al-Assad selamat menjalani pembedahan rawatan kanser payudara tahap satu, kata pejabat presiden negara itu hari ini.
“Asma al-Assad meneruskan rawatan membuang ketumbuhan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook.
“Pembedahan payudara di hospital tentera Damsyik selamat dilaksanakan.”
Pada Ogos lalu, kerajaan Syria mengumumkan Asma telah mula menjalani rawatan kanser itu yang dikatakan berada pada tahap awal.
Sejak itu, akaun media sosial pejabat presiden sering menunjukkan Asma memakai tudung, melawat pesakit kanser, tentera yang cedera dan menghadiri majlis amal.
Lahir pada 1975, wanita kelahiran Britain itu yang juga bekas pegawai pelaburan bank menggelar dirinya sebagai penjuang hak asasi.
Namun selepas protes antikerajaan pada 2011 yang bertukar menjadi perang saudara, beliau dikritik kerana menyokong suaminya melancarkan keganasan terhadap rakyat. – AFP, 27 Januari, 2019.
Komen