Presiden Venezuela tolak tuntutan Eropah adakan pilihan raya


Presiden Venezuela Nicolas Maduro berikrar untuk mengatasi ancaman yang cuba menjatuhkan pemerintahnnya. – Gambar AFP, 27 Januari, 2019.

PRESIDEN Venezuela Nicolas Maduro menolak gesaan negara-negara Eropah untuk mengumumkan tarikh pilihan raya dalam tempoh lapan hari lagi memandangkan negarannya itu tidak terikat dengan benua itu.

“Mereka (negara Eropah) perlu menarik semula kata dua itu. Tidak siapa boleh memberi kata dua kepada kami,” kata Maduro dalam sesi temu bual bersana CNN Turk hari ini.

“Venezuela tidak terikat dengan Eropah. Tindakan negara Eropah adalah satu kesilapan.”

Kuasa Eropah termasuk Perancis, Belanda dan Jerman semalam memberi amaran bahawa mereka akan mengiktiraf pemimpin pembangkang Juan Guaido sebagai presiden jika Maduro enggan mengumumkan tarikh pilihan raya baharu dalam tempoh lapan hari.

Britain dan Sepanyol turut mengeluarkan amaran sama.

Guaido mengiktraf dirinya sebagai pemangku presiden Venezuela semasa mengadakan bantahan besar-besaran terhadap Maduro pada Rabu lalu.

Sejak itu, Amerika Syarikat (AS), Kanada dan kebanyakan negara Amerika Selatan termasuk Brazil menyokong tindakan Guaido itu.

Namun Maduro berkata Guaido telah melanggar perlembangaan dan menuduh Washington cuba melakukan rampasan kuasa terhadap pemerintahannya.

“Semua yang berlaku ada kaitan dengan AS. Mereka menyerang kita dan fikir Venezuela sebagai sasaran,” kata Maduro.

Beliau juga berikrar untuk mengatasi ancaman yang cuba menjatuhkannya.

Maduro berkata beliau terbuka kepada sebarang rundingan tetapi berkemungkinan tidak akan bertemu dengan Presiden AS Donald Trump.

“Ia tidak mustahil tetapi mungkin tidak berlaku. Saya menghantar banyak mesej (amaran) kepada Donald Trump,”

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan membentuk pakatan yang kuat dengan Maduro dan beliau mengadakan lawatan untuk menemui pemimpin itu di Caracas.

Tahun lalu, Maduro sendiri datang ke Turki dan menggelar Erdogan sebagai rakan Venezuela. – AFP, 27 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen