Kerjasama Umno-PAS diuji lagi di DUN Semenyih


SM Amin

STRATEGI kerjasama Umno dan PAS akan lebih teruji dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih awal Mac ini, selepas Barisan Nasional (BN) berjaya dalam pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands kelmarin, kata penganalisis dan pemimpin parti.

BN yang menang PRK Cameron Highlands dengan undi PAS semasa pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mahu mengulangi trend itu di Semenyih nanti, kata pemimpin Umno Selangor.

Kemenangan majoriti hampir 9,000 undi di DUN Semenyih sembilan bulan lalu juga bukan bekalan selesa untuk Pakatan Harapan (PH), kata ketua strategi Bersatu, Rais Hussin Mohamed Ariff, berdasarkan strategi berkesan Umno dan PAS di Cameron Highlands.

“Kita (PH) perlu memandang berat apa yang berlaku di Cameron Highlands kerana pengundi Melayu nampaknya terkesan dengan beberapa isu yang dibawa oleh BN. 

“Kita perlu lebih memahami sentimen mereka dan mengambil tindakan susulan yang sesuai untuk menanganinya,” kata Rais ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac sebagai hari mengundi di Semenyih selepas wakil rakyatnya Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung. 

Bakhtiar dari Bersatu yang mewakili PH pada pilihan raya 9 Mei 2018 menang pertandingan empat penjuru dengan majoriti 8,964 undi.  

Beliau mendapat 23,428 undi berbanding calon BN Johan Abdul Aziz yang mendapat 14,464 manakala calon PAS, Mad Shahmidur Mat Kosim mendapat 6,966 undi. 

Sekiranya dicampur jumlah undi Umno dan PAS, majoriti dimenangi PH sembilan bulan lalu hanya 1,998 undi.

Ramli Mohd Nor bersama pemimpin Barisan Nasional meraikan kemenangan mempertahankan Parlimen Cameron Highlands dalam pilihan raya kecil pada Sabtu lalu.  Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2019.

Dalam pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands semalam, calon BN Ramli Mohd Nor menang dengan majoriti lebih besar 3,238 undi berbanding 597 undi semasa PRU14, yang datang daripada lebih 3,000 undi PAS. 

Gabungan undi Umno dan PAS di Cameron Highlands bagaimanapun sebenarnya hampir sama seperti pada PRU14 iaitu kira-kira 56%, membayangkan sokongan PH di kawasan Parlimen itu tidak menurun seperti yang dicanangkan oleh BN.

Namun pada pilihan raya kecil DUN Semenyih ini – yang pertama bakal mempertemukan Umno dan parti serpihannya, Bersatu, sejak PRU14 – Umno Selangor mahu mengambil semangat daripada kejayaan BN di Cameron Highlands. 

Umno dan PAS Selangor malah sudah membuat persiapan lebih awal menubuhkan jawatankuasa bersama selepas pengalaman kerjasama yang longgar dalam dua pilihan raya kecil sebelumnya di DUN Sungai Kandis dan Seri Setia, kata Setiausaha Umno Selangor, Armand Azha Abu Hanifah.

PAS juga melalui Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan sudah mengumumkan tidak bertanding di Semenyih untuk memberi laluan kepada Umno mendapat undi lebih besar.

“Saya tidak mahu beritahu sama ada kita (Umno) akan menang atau kalah di Semenyih, tetapi berdasarkan sokongan rakyat dan juga sepanjang kempen di Cameron Highlands, kita sudah dapat merasakan ‘feel good factor’ apabila pengundi terutamanya Melayu sudah kembali kepada BN,” kata Armand.

“Semenyih satu tempat yang unik kerana majoriti pengundinya Melayu. Ini akan jadi titik perubahan dalam landskap politik di Selangor,” tambahnya.

PAS dan Umno membentuk kerjasama dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini dan akan meneruskannya dalam PRK Semenyih pada Mac depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2019.

Armand yakin sokongan rakyat terhadap kerjasama Umno dan PAS akan lebih kukuh berbanding semasa pilihan raya kecil Sungai Kandis dan Seri Setia, yang diadakan dalam tempoh 100 hari selepas PRU14.

“Selepas sembilan bulan rakyat memberikan mandat kepada PH, mereka melihat kerajaan yang ada pada hari ini tidak dapat mengotakan janji mereka,” katanya, yang yakin Semenyih akan jadi petunjuk sokongan rakyat kepada Umno dan PH. 

“Saya rasa rakyat sudah jelak dengan permainan politik yang sama walaupun sudah menjadi kerajaan. Kerajaan Pakatan Harapan ini hanya bergantung harap kepada isu-isu yang menimbulkan kebencian. Rakyat sudah mula menolak politik kebencian,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Mohd Azlan Zainal melihat strategi gabungan Umno dan Pas di Cameron Highlands berjaya mengalih undi kepada BN, membayangkan persefahaman dua parti Melayu itu untuk membentuk pakatan pembangkang yang lebih kuat pada masa depan.

“Keputusan di Cameron Highlands menunjukkan orang Melayu menerima secara sah bahawa parti yang mewakili mereka adalah gabungan Umno dan Pas. 

“Trend ini akan terbawa ke Semenyih dan pertempuran di situ akan berlaku sengit, ditambah prestasi bekas YB yang sedikit mengecewakan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Kemenangan majoriti hampir 9,000 undi di DUN Semenyih sembilan bulan lalu juga bukan bekalan selesa untuk Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2019.

Menurut Azlan, undi Pas boleh beralih kepada BN atas beberapa faktor seperti isu sentimen Melayu-Islam, kos sara hidup, janji manifesto PH yang tidak tertunai dan prestasi PH yang tidak seperti yang diharapkan.

Jelas beliau, PH akan ditolak oleh pengundi di Semenyih sekiranya terus berkempen atas isu rasuah dan kleptokrasi, skandal 1Malaysia Development Berhad yang katanya “sudah tidak laku dan basi”.

“Isu ini akan tenggelam dengan janji manifesto yang tertangguh seperti mansuh tol, hutang PTPTN, harga barang dan komoditi dan sentimen Melayu-Islam,” ujarnya.

“Gabungan Umno-PAS akan membuat kejutan di Semenyih. Paling kurang mendekatkan jurang majoriti undi,” tambahnya. – 28 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen