KIRA-KIRA 50 penunjuk perasaan menceroboh masuk Kedutaan Cameroon di Paris dan menconteng gambar presiden negara Afrika itu.
Tindakan itu sebagai membantah kerajaan Cameroon menindas penunjuk perasaan yang mengadakan demonstrasi di beberapa bandar utama negara tersebut.
Penunjuk perasaan di Perancis turut merakamkan aksi mereka menyerbu pejabat kedutaan yang kosong dan menyiarkannya secara langsung di Facebook.
Polis kemudiaanya mengusir keluar semua penunjuk perasaan dua jam kemudiaan tetapi mereka meneruskan bantahan di luar kedutaan.
Seorang penunjuk perasaan Daniel Essissima berkata kerajaan Cameroon bertindak kejam terhadap rakyat mereka yang mengadakan bantahan.
“Mereka tidak boleh menindas rakyat. Kerajaan negara itu menggunakan tentera untuk membunuh rakyat dan menggunakan peluru hidup,” dakwanya.
Sekurang-kurangnya tiga orang ditembak dalam demonstrasi oleh kumpulan pembangkang di bandar Douala di Cameron semalam.
Menteri Komunikasi Cameroon Rene Emmanuel Sadi mendakwa tentera tidak menggunakan peluru hidup untuk meleraikan tunjuk perasaan itu.
Kerajaan Cameroon hari ini berkata seramai 117 ditahan semalam kerana mengganggu ketenteraman ketika mengadakan bantahan di ibu negara Yaounde dan bandar Bafoussam serta Mbouda.
Pemimpin pembangkang Maurice Kamto mendakwa beliau merupakan pemenang sah dalam pilihan raya presiden pada Oktober lalu walaupun lawannya Paul Biya diumumkan sebagai pemenang.
Biya, 85, berkuasa selama 36 tahun dan memenangi pilihan raya presiden buat kali ketujuh berturut-turut.
Namun pembangkang menyifatkan pilihan raya itu tidak sah kerana berlaku penipuan. – AFP, 27 Januari, 2019.
Komen