Baghdad panggil duta Turki berhubung kematian penunjuk perasaan Kurdi


Parti Pekerja Kurdish (PKK) memberontak menentang Turki sejak 1984. – Gambar AFP, 27 Januari, 2019.

KERAJAAN Iraq pada Ahad mengatakan ia akan memanggil duta Turki berikutan kematian seorang penunjuk perasaan Kurdi selepas tentera Turki melepaskan tembakan te arah para penunjuk perasaan di barat laut negara itu.

Pada malam Sabtu, penunjuk perasaan Kurdi menyerbun kawasan tentera Turki di rantau Shiladzeh di barat laut Iraq bagi membantah kematian empat orang awam yang dikatakan terbunuh minggu lalu dalam pengeboman Turki.

Saksi berkata tentera Turki melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan sehingga menyebabkan kecederaan dan kerosakan.

Kementerian Luar Iraq pada hari Ahad mengecam insiden tersebut, dengan mengatakan seorang terbunuh dan beberapa yang lainnya cedera apabila pasukan Turki “melepaskan tembakan ke atas rakyat di kawasan Shiladzeh”.

“Kementerian Luar akan memanggil duta Turki untuk menyerahkan nota bantahan mengenai insiden tersebut dan menuntut agar ia tidak berulang,” tambahnya.

Pasukan Turki dikerahkan ke wilayah Kurdi di utara wilayah Iraq dan sering melakukan serbuan dan serangan udara terhadap Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang dianggap sebagai kumpulan “pengganas” oleh Ankara.

Pada hari Sabtu, pemerintah daerah Kurdi mengatakan ia “sedih” berikutan kecederaan dan kerosakan harta benda di Shiladzeh namun hanya merujuk kepada “insiden” tersebut tanpa menyebut Turki atau protes yang berlaku.

Rakaman yang diedarkan aktivis menunjukkan penunjuk perasaan membakar kenderaan tentera Turki.

Kementerian pertahanan Turki berkata salah satu pangkalannya diserang selepas “provokasi kumpulan pengganas PKK,” mengakibatkan kerosakan kepada kenderaan dan peralatan lain.

PKK melancarkan pemberontakan terhadap negara Turki sejak tahun 1984, di samping turut mengendalikan pangkalan di kawasan gunung Qandil di wilayah Kurdi Iraq. – AFP, 27 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen