SEORANG ahli kumpulan penyanyi pop wanita Thailand memohon maaf kerana memakai baju yang tertera logo Nazi ketika mengadakan persembahan dalam satu program televisyen semalam.
Tindakan Pichayapa “Namsai” Natha dari kumpulan BNK48 memakai logo itu mengundang rasa kecewa dan terkejut daripada pihak kedutaan Israel di negara itu.
Timbalan ketua misi Kedutaan Israel di Bangkok dalam satu kenyataan menerusi Twitter menyuarakan rasa terkejut tentang cara pemakaian Pichayapa , tambahan pula hari ini merupakan hari memperingati peristiwa Holocaust iaitu kejadian pembunuhan orang Yahudi oleh askar Jerman Nazi pada Perang Dunia Kedua.
“Tindakan penyanyi itu memakai simbol Nazi pada pakaiannya menyakiti hati berjuta-juta orang di seluruh dunia terutamanya ahli kelurga mereka yang dibunuh oleh Nazi,” kata Smadar Shapira.
Penyanyi berusia 19 tahun itu dijangka bertemu dengan duta Israel pada hari ini.
Sementara itu, Duta Jerman ke Thailand Georg Schmidt turut menyuarakan rasa kesal terhadap tindakan Pichayapa.
“Kita menjemput ahli kumpulan BNK48 untuk menceritakan keganasan Nazi,” kata Georg menerusi Twitter.
Semalam, Pichayapa memohon maaf atas kesilapannya itu ketika mengadakan sebuah konsert.
“Saya mahu isu ini menjadi contoh kepada semua orang, harap maafkan saya,” katanya.
Malah penyanyi itu turut memuat naik status memohon maaf menerusi laman Facebook miliknya.
Imej Hitler dan pelbagai logo yang berkaitan Nazi sering digunakan pada pakaian dan cenderahati di Thailand, satu fenomena yang dipersalahkan kepada generasi baharu yang kurang peka terhadap sejarah dunia.
Sementara itu, ada kalangan peminat BNK48 tampil mempertahankan Pichayapa.
“Saya sudah berusia lebih 40 tahun dan tidak tahu tentang topik ini. Apabila saya melihat pakaian itu, saya tidak fikir ia menjadi satu masalah,” kata peminat Prasit Rudeekriengkrai.
Malah ada peminatnya menyalahkan sistem pendidikan Thailand yang tidak menumpukan tentang sejarah dunia.
“Apa yang anda harapkan? Kami hanya belajar tentang sejarah perang Thailand dan Myanmar,” kata Samruay Kraspra, seorang lagi peminat kumpulan itu. – AFP, 27 Januari, 2019.
Komen