GEREJA Katolik Jepun pada hari Ahad mendesak Pope Francis menyuarakan mesej anti-nuklear dari Hiroshima dan Nagasaki sewaktu lawatan beliau ke negara itu pada tahun ini.
Ketua Katolik yang berasal dari Argentina itu berkata Rabu lalu, bahawa beliau akan melawat Jepun pada bulan November depan, menjadikan beliau sebagai pope pertama yang melakukannya sejak John Paul II melawat negara itu hampir 40 tahun yang lalu.
Lawatan beliau ke negara akan dijadualkan dengan lawatan ke Hiroshima dan Nagasaki bagi mendoakan mangsa-mangsa pengeboman nuklear pada 1945, yang mengorbankan kira-kira 220,000 orang.
“Saya percaya beliau akan bersimpati dengan pergerakan untuk menghapuskan senjata nuklear,” kata Keiko Ichikawa selepas menghadiri acara doa sejak pope itu mengumumkan lawatan beliau ke Jepun, yang mempunyai populasi kira-kira 450,000 orang penganut Katolik Rom.
“Saya harap kunjungan pope itu akan menjadi peluang untuk mempertingkatkan motivasi pergerakan itu,” kata penganut Katolik berusia 77 tahun itu kepada AFP.
Francis sebelum ini berulang kali menyuarakan keinginan beliau untuk melawat Jepun dan dikatakan pernah mahu bekerja sebagai mubaligh di sana pada waktu mudanya namun membatalkan rancangan itu selepas menjalani pembedahan paru-paru.
Pada bulan Januari tahun lepas, Francis menunjukkan sebuah gambar mengerikan yang diambil pada tahun 1945 yang memaparkan kanak-kanak lelaki Jepun yang sedang mengangkat mayat abangnya.
Saudaranya terbunuh ketika Amerika Syarikat menjatuhkan bom nuklear di Nagasaki.
Francis, yang sering bercakap tentang bahaya senjata nuklear, menulis di belakang imej berkenaan dengan kata-kata “hasil peperangan”.
Menurut media tempatan, beliau juga mempertimbangkan untuk melawat Fukushima, yang dilanda tsunami besar yang dicetuskan gempa bumi 9.0 magnitud pada Mac 2011.
Gelombang tinggi itu membunuh kira-kira 18,000 orang dan membanjiri loji nuklear Fukushima, menghantar reaktor yang menjadi bencana nuklear terburuk dunia sejak Chernobyl.
“Kami juga mengalami penderitaan yang besar di Fukushima kerana kemalangan reaktor nuklear,” kata Yuko Honma, seorang biarawati Katolik berusia 82 tahun.
“Saya berharap beliau akan mempunyai peluang untuk melawat kawasan itu juga bagi memberi semangat kepada mangsa bencana, katanya. – AFP, 27 Januari, 2019.
Komen