KEJAYAAN kerjasama antara PAS dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands akan mengukuhkan lagi hubungan dan usaha kedua-dua parti itu untuk meraih lebih banyak sokongan pengundi Melayu di kawasan luar bandar, kata pusat kajian Institut Darul Ehsan.
“Jika Pakatan Harapan (PH) tidak mengendalikan isu ini dengan baik, sentimen anti kerajaan akan tersebar kepada pengundi Melayu di kawasan bandar dan pinggir bandar,” kata pengurus institut itu, Khairul Ariffin.
Katanya PAS dan Umno memainkan isu kedudukan goyah orang Melayu sejak pilihan raya umum lalu, dan keputusan semalam menunjukkan pengundi Melayu menyokong hujah tersebut.
“Jika Pakatan tidak mengendalikan isu ini dengan baik, ‘kanser’ ini akan merebak kepada lebih ramai pengundi Melayu.”
Khairul berkata keputusan semalam membuktikan bahawa jangkaan kononnya pengundi Felda dan orang Melayu luar bandar akan beralih kepada kerajaan hari ini adalah salah.
“Pengundi Melayu luar bandar menunjukkan kematangan politik yang tinggi daripada disangkakan dan mereka memilih BN kerana mereka merasakan parti itu lebih baik dalam mempertahankan hak Melayu dan Islam.”
Beliau berkata parti-parti Melayu dalam Pakatan - Bersatu, Amanah dan PKR - perlu menangani isu pengundi Melayu dengan lebih serius untuk bersaing dengan PAS dan Umno.

Khairul berkata walaupun usaha pembaharuan terhadap sistem pilihan raya, Parlimen dan institusi lain adalah penting, majoriti pengundi Melayu terutamanya di kawasan luar bandar tidak menggangap ia sebagai keutamaan buat masa ini.
“Kos sara hidup dan harga komoditi masih menjadi isu utama yang dihadapi oleh pengundi luar bandar.”
Faktor kemenangan
Walaupun isu hak orang Melayu merupakan faktor penting, tetapi pilihan BN untuk meletakkan calon Orang Asli di kawasan yang terdiri daripada 34% orang Melayu dan 21% Orang Asli sebagai keputusan tepat, kata Khairul.
“Dengan meletakkan Ramli Mohd Nor dari puak Semai, BN mampu meyakinkan pengundi bahawa beliau akan menjadi wakil pertama Orang Asli di Dewan Rakyat.
“Lebih penting lagi, beliau tidak dilihat sebagai calon Umno.
“Langkah ini menarik minat pengundi Melayu walaupun sebelum ini kawasan itu diwakili oleh wakil rakyat India yang menjaga hal Orang Asli.”
Khairul berkata perkara itu terbukti dengan kejayaan BN mengukuhkan cengkaman di Jelai yang mempunyai 64% pengundi orang Melayu dan 34% pengundi Orang Asli.

Beliau berkata BN menumpukan kempen di kawasan orang Melayu dan memainkan isu anti-DAP dan Melayu-Islam untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu selain meminimumkan hubungan Ramli dengan pihak media.
“BN juga mempunyai keperluan logistik dan pemahaman yang lebih baik terhadap sentimen tempatan di Jelai berbanding Pakatan.
“Malah kedudukan sebagai Kerajaan Negeri dan mempunyai Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Adun Jelai memberi kelebihan kepada BN untuk mendapat sokongan pengundi di sana.”
Khairul berkata BN juga mengenalpasti sasaran pengundi dengan meletakan bendera dan poster di stesen pengundi orang Melayu.
“Kempen rumah ke rumah bersama pemimpin PAS juga berkesan manakala kempen Pakatan tertumpu kepada soal sentimen dan isu,” kata Khairul. – 27 Januari, 2019.
Komen