Surat ugutan dengan sianida dihantar ke 9 syarikat Jepun


Sembilan syarikat di Jepun menerima surat ugutan dengan racun sianida menuntut bayaran 35 juta won. – Gambar AFP, 27 Januari, 2019.

SEMBILAN syarikat Jepun termasuk pengeluar ubat-ubatan dan akhbar menerima surat ugutan mengandungi serbuk putih dipercayai sianida, kata polis dan media tempatan hari ini.

Surat itu yang dihantar menggunakan nama ahli Aum Shinrikyo- kumpulan berbahaya yang jadi dalang seragan gas sarin di Tokyo pada 1995- dan menuntut 35 juta won (AS$31,000) dalam bentuk mata wang digital, kata seorang jurucakap polis kepada AFP.

“Syarikat farmasi dan syarikat lain menerima sampul surat mengandungi surat ugutan dan serbuk berdebu dipercayai sianida,” katanya yang bercakap dengan syarat kerahsiaan identiti.

“Saya akan hasilkan ubat-ubatan palsu mengandungi potasium sianida dan mengedarkannya,” kata surat itu menurut jurucakap tersebut dan memberi amaran “tragedi akan berlaku” jika wang tidak dipindahkan menjelang 22 Februari.

Media tempatan melaporkan yang nama pada surat tersebut- yang diterima pada Jumaat-termasuklah Shoko Asahara, pemimpin karismatik kumpulan yang dihukum bunuh bersama-sama 12 pengikut setianya pada Julai tahun lepas.

Serbuk putih berdebu itu kemudian disahkan sebagai sianida, lapor akhbar Asahi Shimbun, menambah yang sampul surat serupa dihantar kepada ibu pejabat akhbar Mainichi Shimbun di Tokyo.

Surat ugutan sama juga dihantar kepada beberapa syarikat ubat-ubatan di Osaka pada Januari tahun lepas, lapor Jiji Press. – AFP, 27 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen