ARAB Saudi mengintai pelaburan lebih kurang RM1.76 trilion menjelang 2030 bagi pelbagai projek infrastruktur termasuk tenaga, perlombongan dan industri dalam usaha mengurangkan pergantungannya pada sumber hasil minyak, lapor Bloomberg.
Laporan itu memetik Menteri Tenaga Khalid Al-Falih berkata pelan pembangunan itu akan diumumkan Putera Mahkota Mohammed Salman di Riyadh, esok.
Majlis pengumuman esok dijangka memeterai kira-kira 70 perjanjian melibatkan lebih RM220 bilion, katanya.
Khalid juga dipetik berkata Arab Saudi akan mewujudkan sebuah agensi pembelian tenaga yang baru dalam rangka utama menstruktur semula bidang tenaganya.
Projek infrastruktur menjelang 2030 itu juga merangkumi pembinaan lapangan terbang baru di Riyadh serta baik pulih lima lapangan terbang. Arab Saudi juga berhasrat membina jajaran 2,000 kilometer landasan kereta api, kata Menteri Pengangkutannya Nabil Al-Amoudi. – 27 Januari, 2019.
Komen