SEKURANG-KURANGNYA tujuh maut selepas dua bom meletup di sebuah gereja di selatan Filipina yang merupakan kubu kuat pengganas Islam, kata tentera hari ini, hanya beberapa hari selepas pengundian untuk wilayah autonomi Islam yang baharu itu dijalankan.
Letupan pertama berlaku dalam sebuah gereja Katolik di Jolo pada pagi Ahad ketika upacara sembahyang sedang dijalankan, diikuti dengan letupan kedua ketika tentera datang, kata jurucakap tentera Gerry Besana kepada AFP.
Lima anggota tentera dan dua orang awam disahkan terbunuh, 35 lagi pula cedera, tambahnya.
“Motif jelas sekali…keganasan. Ada orang yang tidak mahukan keamanan. Menyedihkan yang ini berlaku selepas undang-undang Bangsamoro baru diratifikasi,” kata Besana.
Jolo terletak dalam wilayah autonomi majoriti Islam Bangsamoro, yang mendapat sokongan ramai pengundi minggu lepas.
Kepulauan itu juga adalah pangkalan kumpulan militant Abu Sayyaf yang dipersalah kerana beberapa serangan terburuk dalam sejarah negara itu.
Minggu lepas, pengundi sebulat suara memilih untuk mewujudkan sebuah wilayah autonomi yang lebih berkuasa di selatan Filipina, yang diharapkan membawa keamanan dan pembangunan selepas berdekad lamanya daerah itu bergolak.
Daerah Sulu- termasuklah Jolo- mengundi menentang pembentukan daerah baharu itu, dengan gabenornya mempersoalkan kewujudannya tanpa melalui Mahkamah Agung.
Walaupun bantahan Sulu, undang-undang menetapkan yang daerah itu akan dimasukkan ke dalam wilayah autonomi baharu itu kerana pengundi seluruh kawasan mengundi mahukan pembentukannya. – AFP, 27 Januari, 2019.
Komen