ANDA menghadapi sakit-sakit yang misteri atau anda merasakan selalu didatangi sial, tak pun perniagaan anda merosot dan anda dapati semakin sukar untuk anda mendapatkan projek, atau bak kata di kalangan selebiriti dan artis tempatan ‘job’anda semakin kurang? Jangan terkejut dan terkedu kalau-kalau ada benda halus yang dating dari alam ghaib yang menyebabkan anda menghadapi perkara-perkara ini.
Mungkin kini selain dari membeli Panadol Activfast di kedai 24 jam atau membeli MC di klinik yang biasa anda pergi, sudah tiba masanya untuk anda mencuba dan mendapat khidmat nasihat pakar perubatan alternatif. Janganlah anda terlalu risau dan malu kerana industri perubatan alternatif di Malaysia kini sudah menjadi sesuatu yang telah di-arus- perdanakan (mainstream) dan ianya sekarang sudah menjadi sebahagian dari keperluan pelbagai bentuk lapisan masyarakat.
Sekarang, khidmat perubatan alternatif atau bomoh bukan sahaja tertumpu kepada minyak pengasih dan meminta nombor ekor sahaja tetapi mereka sudah berjaya menembusi pelbagai pasaran baru dalam menawarkan produk untuk pengguna zaman moden, dari menjadi konsultan cuaca (weather consultant) untuk expo dan karnival, kepada ahli politik yang bercita-cita tinggi hinggalah kepada golongan lelaki menyerupai wanita yang ingin menambah seri pelengkap kepada pembedahan plastik mereka di Thailand sempena pertandingan ratu cantik alternatif yang bakal diadakan bulan depan.
Sekiranya anda tidak pernah berjumpa bomoh sebelum ini dan tidak tahu apa yang hendak dibuat maka penulisan ini adalah untuk anda, ia bukanlah satu panduan lengkap mengenai dunia-dunia perubatan alternatif tetapi sekadar panduan asas bagi membantu anda yang baru sahaja hendak menceburi ke dalam dunia ini.
Ada orang dengki
Anda jangan terkejut bahawa 99% dari punca kepada segala kesakitan dan kesusahan yang anda hadapi, jika dirujuk kepada bomoh, puncanya adalah ada orang dengki atau ada orang hantar, itu sahaja. Tidak, ianya bukanlah kerana tumor di dalam hati anda yang menyebabkan perut anda busung atau disiplin dan perangai sombong anda yang membuatkan pelanggan restoran anda semakin berkurangan; punca kepada semua kesusahan anda bukanlah datangnya dari diri anda tetapi sebenarnya dari orang lain. Ini adalah asas kepada dunia pembomohan yakni falsafah bahawasanya semua ini adalah salah orang lain dan jalan kepada penyelesaian anda tidak memerlukan anda untuk mengubah perangai dan gaya hidup anda ataupun menjalankan pembedahan yang menakutkan.
Dalam dunia pembomohan, penyelesaian kepada permasaalahan anda terletak pada ritual-ritual yang tidak berkaitan, diikuti dengan wang pengkeras atau dalam bahasa modennya, ‘consultancy fee’. Untuk anda memahami apa fungsi dan tugas bomoh anggaplah mereka ini sama seperti setiap konsultan media atau firma penasihat komunikasi (PR Firm).
Mereka akan kata kepada pelanggan atau ‘client’ mereka bahawa ini semua bukanlah salah si empunya badan tetapi sekadar masaalah komunikasi, mereka akan menerangkan bahawa si empunya badan hanya memerlukan pembetulan persepsi tanpa memerlukan sebarang perubahan asas (fundamental changes) yang sukar, kemudian mengenakan yuran nasihat yang harganya ratusan ribu ringgit hanya untuk menerbitkan dua tiga video, satu laman Facebook dan beberapa poster yang tidak membawa sebarang perubahan yang ketara.
Jenis-jenis bomoh
- Bomoh tradisional
Kini anda sudah faham akan apakah falsafah asas dunia pembomohan, tiba masanya untuk anda memilih apakah disiplin kebomohan yang anda rasa anda perlukan. Sekiranya anda memerlukan perkhidmatan untuk kes-kes berat, sebagai contoh anda mempunyai persaing dalam perniagaan atau anda mahu kelihatan lebih menonjol dalam mengampu boss anda berbanding dengan rakan pejabat anda yang lain, mungkin anda memerlukan khidmat bomoh tradisi.
Bomoh-bomoh ini biasanya duduk di kawasan ulu ceruk tempat jin bertendang dan biasanya ilmu kebomohannya tertumpu kepada pengkhususan etnik. Sebagai contoh, bomoh Melayu akan mahir untuk melariskan atau menyantau restoran Melayu sahaja dan dia tidak akan berupaya untuk memberi kesan kepada restoran franchise barat atau jenama antarabangsa seperti KFC, McDonalds atau Starbucks. Dia hanya boleh menyantau gerai nasi lemak Kak Leha tepi longkang sahaja. Begitu juga dengan individu, bomoh Melayu Malaysia hanya akan mampu melemahkan semangat pesaing bakal calon pilihanraya kerusi parlimen anda tetapi tidak akan mampu menyantau Donald Trump atau Barrack Obama, jadi sebelum anda bertemu dengan bomoh tradisi, anda perlu ketahui akan etnik dan skop perkhidmatan yang anda perlukan.
- Bomoh pseudo-Islami
Sekiranya anda merasakan anda mahu berjumpa bomoh tetapi takut untuk melibatkan diri dalam perkara-perkara tahyul dan khurafat, usah risau, kini sudah banyak perkhidmatan bomoh-bomoh pseudo Islami yang menggunakan ayat Quran untuk menjual harapan kepada anda pada harga yang berpatutan.
Dari bekas artis-artis yang telah insaf yang memberi anda ayat-ayat Quran mengikut simptom sama seperti doktor memberikan anda paracetamol dan ‘anti histamine’, hinggalah kepada pak syeikh berserban besar yang menjual kencing unta, kini anda boleh mendapatkan khidmat mereka tanpa merasa gusar dan risau, takut-takut anda sedang menduakan tuhan.
Percayalah kepada tongkat wali songo yang harganya puluhan ribu itu kerana yang menjualnya memakai jubah dan serban besar, takkanlah dia beli tongkat tu dekat Pasar Seni, mana mungkin.
- Bomoh liberal
Sekiranya anda yang jenisnya tidak percaya bahawa manusia tidak wajar dihakimi hanya kerana warna kulit, pegangan dan kepercayaan, maka dunia pembomohan anda kini semakin luas. Syukur kita ini di Malaysia sebuah negara yang amat unik kerana mempunyai masyarakat majmuk pelbagai kaum dan etnik hidup dengan harmoni, hinggakan diterjemahkan dalam makanan harian kita begitu jualah dengan dunia pembomohan.
Sekiranya anda boleh membuka minda anda untuk menceburi dan mendapat pengalaman baru, anda boleh mendapatkan pelbagai bentuk khidmat dari bermacam jenis bomoh yang ada dan inilah yang disebut sebagai bomoh genre liberal. Bomoh tak semestinya membakar kemenyan, memotong limau dan berpakaian serba hitam, kini ada bomoh moden yang bebaju kot berjenama yang akan meyakinkan anda untuk membeli jed kura-kura berharga puluhan ribu atau membela ikan air tawar sirip emas untuk mendapatkan ‘feng shui’ yang baik.
Malah, ada juga bomoh yang menggabungkan ilmu kebomohan merentasi etnik ibarat tukang masak yang menyediakan hidangan ‘fusion’ khusus bagi menyelesaikan masalah anda.
Kesimpulan
Ada pepatah Melayu-Inggeris yang berbunyi “You can take the boy out of the kampung, but not the kampung out of the boy” yang menyatakan tentang ikatan kita dengan asal usul kita. Sebab itu jangan terkejut bahawa industry bomoh ini bukan sekadar di kawasan pendalaman tetapi turut segar dan membangun di kawasan-kawasan Bandar seperti Publika, Bangsar South, Hartamas, Brickfields, Balakong, Tropicana atau Taman Tun Dr Ismail.
Walaupun dunia sudah semakin maju, bangunan tinggi-tinggi dan lebuhraya laju-laju, dari keretapi landasan bernama LRT dan MRT, semua ini tidak bermakna kalau sekadar prasana kelas pertama, tetapi minda kelas kelima.
Sesungguhnya dunia tahyul, khurafat dan karut marut masih lagi subur di Malaysia ini dan sumbernya bukanlah jin, kemenyan atau barang-barang keramat, tetapi minda manusia dan masyarakat kita yang teramat sibuk mengejar barangan berjenama, harta dan pangkat. – 31 Ogos, 2017.
*
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen