TAHUN ini genap 40 tahun Afghanistan berada dalam krisis perang. Antara sejarah perang paling panjang dalam tamadun moden. Selama tempoh itu, sejarah perang Afghanistan terbahagi tiga.
Pada 1979 hingga 1989, negara Asia Selatan ini dijajah Rusia selama satu dekad. Manakala, mulai 2011 hingga kini, dicerobohi tentera Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Barat.
Manakala baki selama 12 tahun lagi, sejak 1989 hingga 2001, Afghanistan dicengkam krisis perang saudara.
Perang 1979 tercetus apabila rakyat bangkit menentang kehadiran tentera Rusia membantu rejim Babrak Kamal yang merampas kuasa. Sejak itu Afghanistan tidak pernah aman.
Perang mujahidin menentang rejim boneka Rusia itu berlarutan antara tujuh hingga sepuluh tahun. Pada tahun 1986, rejim boneka pimpinan Babrak berjaya dijatuhkah. Namun, hanya pada 1989, tentera Rusia berundur kalah sepenuhnya.
Ketika dijarah Rusia, kombinasi pejuang mujahidin pimpinan Gulbuddin Hekmatyar, Abdul Rashid Dostum, Burhanuddin Rabbani dan Ahmad Shah Masood bangkit berperang. Akhirnya, Kabul berjaya ditawan semula pada 1986.
Kombinasi empat pemimpin mewakili etnik utama Afghanistan itu, berjaya membentuk kerajaan. Namun, kerajaan campuran Islam itu gagal memerintah secara aman.
Perang saudara meletus lagi pada 1991 sesama empat kumpulan etnik terbesar. Afghanistan bergolak dengan konsep warlord. Tiap kaum menguasai wilayah tersendiri.
Akhirnya, pada 1996, dengan bantuan AS, Taliban yang asasnya talib, bermaksud gerakan pelajar – berjaya menjatuhkan kerajaan gabungan empat puak yang bersengketa melebihi satu dekad.
Dunia berasa lega melihat Afghanistan kini dipimpin Taliban. Imej pemuda pelajar agama menjadikan Taliban cepat popular. Ditambah propaganda media Barat yang agresif mempromosi nilai muda Taliban.
Namun, rasa pegun dunia pada Taliban sangat sementara. AS dan sekutu Baratnya yang menyokong Taliban, akhirnya menerima kejutan besar. Taliban mencetuskan kegemparan apabila berubah menjadi rejim pro negara Islam.
Undang-undang Islam ala keganasan Taliban dijalankan tanpa kawalan. Hukuman bunuh berleluasa. Wanita diarah memakai burqa dan diharamkan belajar dan bekerja.
Akhirnya, mulai 1996, blok Barat memusuhi rejim Taliban pimpinan Mullah Muhamad Omar. Sebabnya jelas: Afghanistan diisytihar sebagai negara Islam.
Pada era Mullah Muhamad Omar juga, sempadan Afghanistan dan Pakistan menjadi kubu Al-Qaeda pimpinan Osama Laden. Taliban berbaiah dengan Al Qaeda. Tanda saling menyokong. Peranan Al Qaeda adalah menjadikan Afghanistan sebagai sel pusat untuk melancarkan gerakan jihad teroris anti Barat.
Al Qaeda bergabung dengan hampir semua militan Islam di seluruh dunia. Dari Somalia hingga ke Indonesia. Malah, sel-sel lebih kecil bergerak aktif di eropah dan AS sendiri.
Ada sebab jelas Taliban menyokong Al Qaeda.
Ketika era menjatuhkan kerajaan campuran Afghanistan, Osama pengasas Al Qaeda adalah sekutu kuat AS. Peranan utamanya adalah menyalurkan dana persenjataan yang diberikan AS kepada Taliban. Bantuan bagi memulakan gerakan militan untuk merampas kuasa ketika kerajaan Mujahidin saling berperang sesama sendiri.
Gerakan Taliban dan Al Qaeda bermula di sempadan Pakistan. Terutama di kem-kem pelarian Afghanistan di Penshawar dan Queeta.
Ben Laden, jutawan Arab Saudi, akhirnya dimusuhi AS dan Barat. Setelah Taliban dibentuk sebagai negara Islam, Osama mengalihkan arah perjuangan gerakan militannya.
Bermula sebagai sekutu Barat, Osama membina sel rantaian militan jihad di seluruh dunia untuk menentang AS dan sekutu Barat. Rangkaian Al Qaeda, walaupun kecil, seakan-akan merancang menakluk dunia.
Hasil kemuncaknya tercapai lima tahun kemudian. Pada 11 September 2001, dua kapal terbang dirampas dan digunakan untuk menyerang menara berkembar World Trade Centre.
Itu tarikh bermula ancaman terorisme anti Barat di seluruh dunia.
Sejak itu, dunia berubah. Afghanistan juga berubah lagi. Semakin parah selepas 22 tahun mengalami perang melawan Rusia dan perang saudara.
17 Oktober 2001, AS memimpin pasukan sekutu Barat menyerang rejim Taliban. Ia sekali gus mengubah sama sekali sejarah perang di Afghanistan. Misi AS dan sekutu Baratnya, kini menjadikan bumi Afghanistan sekali lagi dijajah kuasa asing.
AS menyerang dengan kekuatan luar biasa dengan menghantar 90,000 tentera. Misi ini dibantu tentera United Kingdom (9,500), Jerman (4,388), Perancis (3,750), Itali (3,300), Kanada (2,922), Poland (2,417), Turki (1,790), Romania (1,648), Australia (1,550) dan Sepanyol (1,537).
Penulis sempat mengembara selama 12 hari merentas Afghanistan pada Ogos 2006. Perjalanan dari Penshawar, Pakistan melalui Genting Kyber menuju Kabul. Kru penggambaran dokumentari enam episod ini berjaya memasuki Afghanistan melalui sempadan Batagram setelah merentas Genting Khyber.
Perjalanan melalui wilayah Tora Bora, setelah melepasi sempadan antara yang paling mengujakan. Pada waktu itu, kubu kuat dan kawasan persembunyian Osama terletak di sepanjang lembah pergunungan ini.
Dari Batagram, sampailah ke Jalalabad – kota tua ini penuh sejarah. Bandar ala awal abad ke 19 ini sangat unik kerana sering silih berganti dikuasai tentera Afghanistan dan Taliban yang masih melancarkan perang gerila.
Afghanistan tidak pernah kekal aman sejak campur tangan AS. Lebih separuh negara itu masih dikuasai Taliban dengan sokongan Al Qaeda.
Kadar kemiskinan Afghanistan sangat dahsyat. Angka pengangguran melebihi 65%. Manakala 35 juta penduduk terus mengalami pelbagai kesan trauma perang.
Dengan pendapatan dibawah AS$1 bagi setiap keluarga, akses pada makanan dan pendidikan berada pada tahap mimpi ngeri.
Di Kabul pula, wujud kawasan selamat yang sangat terbatas. Hanya Zon Hijau sekitar Kabul yang dikawal Tentera AS dan Bersekutu dianggap bebas perang terbuka. Namun, puluhan kali zon hijau itu berjaya diceroboh dan mengalami serangan bom pembunuh berani mati.
Kabul sentiasa mengalami serangan bom hingga sepanjang minggu lalu.
Suasana penggambaran dan keselamatan kru sepanjang waktu itu sangat kritikal. Orang asing mudah terdedah pada pelbagai jenayah. Kalau pun bukan mangsa tembakan curi, kru produksi terdedah pada jenayah penculikan bagi tujuan tebusan.
Afghanistan hingga sekarang disenaraikan sebagai negara Zon Merah. Istilah antarabangsa sebagai tanda negara tidak selamat kerana faktor penculikan warga asing. Apa lagi, sebahagian wilayahnya hingga kini masih dikuasai Taliban.
Tahun ini, genap 40 tahun Afghanistan dibelenggu perang. Sekali gus menjadi negara kedua paling lama berkrisis selepas Palestin yang sudah tujuh dekad dijajah Israel.
Sejak Rusia menceroboh Afghanistan pada 25 Disember 1979, negara ini kekal menjadi bumi air mata umat Islam di Asia Selatan. – 27 Januari, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen