34 maut, 300 hilang dalam runtuhan empangan di Brazil 


Seorang anggota tentera berkawal di kawasan bencana empangan runtuh yang menyebabkan 34 orang tebrunuh di Brazil. – Gambar EPA, 27 Januari, 2019

34 orang disahkan terbunuh manakala hampir 300 orang dilaporkan masih hilang, selepas empangan runtuh di sebuah lombong di tenggara Brazil. 

Bencana itu berlaku pada Jumaat di lombong Vale berdekatan Belo Horizonte di negeri Minas Gerais.

Beberapa buah helikopter digunakan dalam operasi menyelamat pada Sabtu kerana runtuhan lumpur menenggelamkan bangunan, kenderaan dan jalan raya. 

Pasukan penyelamat mengumumkan jumlah kematian lebih tiga kali ganda ketika lebih banyak mayat dikeluarkan daripada lumpur. 

Buat masa ni, hampir 300 orang dilaporkan masih hilang, kebanyakannya pekerja lombong yang disenaraikan oleh Vale. 

Selain itu, lebih 170 orang diselamatkan, 23 dimasukan ke hospital kerana mengalami kecederaan. 

Presiden Brazil Jair Bolsonaro turut mengadakan lawatan ke kawasan bencana menaiki helikopter. Beliau menerusi Twitter berkata “sukar untuk tidak beremosi dengan keadaan sebegini.”

Tentera katanya mengerahkan 1,000 anggota, termasuk anjing pengesan ke kawasan terjejas di bawah arahan presiden. 

Bencana itu merupakan kali pertama dihadapi Bolsonaro dan kerajaannya sejak mengambil alih pentadbiran pada awal Januari, dan disifatkan sebagai bencana paling buruk dalam sejarah Brazil. – AFP, 27 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen