KEMENANGAN Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Cameron Highlands kerana pengundi dapat lihat pembohongan Pakatan Harapan ketika berkempen, kata Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.
Wan Rosdy berkata, antaranya kenyataan Pakatan Harapan bahawa BN gagal membangunkan Cameron Highlands adalah tidak benar.
“Banyak perkara lain yang tidak boleh diterima oleh pengundi,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmah Shah di Tanah Rata malam tadi.
“Mereka kata tiada pembangunan seperti jalan raya. Tetapi, rakyat di sini boleh melihat pembangunan yang sedang berlaku seperti skim perumahan Orang Asli di Kampung Sungai Ruil.
“Kita juga ada peruntukan untuk membangunkan jalan di Sinderut, Raub, Koyan dan Tanah Rata.
“Dan mereka katakan hutang negara adalah tinggi tetapi itu sudah dibincangkan dengan kerajaan persekutuan.”
Calon BN Ramli Mohd Nor merupakan ahli Parlimen baharu Cameron Highlands dan ahli Parlimen Orang Asli pertama di Malaysia.
Pada pengiraan akhir SPR, Ramli mendapat 12,038 undi, meraih 3,238 undi berbanding pesaingnya, calon Pakatan Harapan M. Manogaran yang hanya mendapat 8,800 undi.
Ditanya adakah kemenangan ini hasil sokongan bekas perdana menteri Najib Razak yang aktif berkempen untuk bekas pakatan pemerintah, Wan Rosdy berkata pujian tidak boleh diberikan kepada seorang individu, tetapi kepada BN, Umno dan semua yang terlibat.
“Sudah pasti, Najib menyumbang pada pilihan raya kali ini, tetapi kejayaan ini bukan atas seorang individu. Semua pasukan terlibat layak mendapat pujian.”
Beliau turut menyatakan keputusan PAS untuk tidak meletakkan calon, sebaliknya menyokong usaha kempen Umno, sebagai salah satu punca kemenangan BN.
“Keseluruhannya, saya boleh katakan ia bukan faktor tunggal tetapi banyak faktor yangmenyumbang kepada kejayaan kita dalam pilihan raya kecil ini.
“Saya boleh katakan keputusan PAS untuk tidak meletakkan calon, jentera kita yang bertungkus lumus, tuduhan palsu terhadap kita, serta kemudahan yang sedia ada di Jelai dan Tanah Rata, dan banyak lagi faktor yang membawa kepada kemenangan,” katanya. – 27 Januari, 2019
Komen