Kurang undi Melayu terhadap Pakatan faktor kemenangan BN, kata penganalisis


Sheridan Mahavera Chan Kok Leong

Penyokong Barisan Nasional meraikan kemenangan parti itu pada pilihan raya kecil Cameron Highlands semalam. Menurut penganalisis, kemenangan BN itu menunjukkan Pakatan Harapan masih kurang mendapat sokongan Melayu di kawasan Parlimen itu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Januari, 2019

JUMLAH keluar mengundi yang rendah di kalangan pengundi Pakatan Harapan, sekutu antara Umno dan PAS serta kemarahan masyarakat luar bandar berikutan harga komoditi terjejas merupakan antara faktor yang membantu untul kerusi Parlimen Cameron Highlands kekal di tangan Barisan Nasional.

Penganalisis politik Mohd Azlan Zainal berkata kempen perkauman terhadap calon PH M. Manogaran turut membantu mengalihkan pengundi atas pagar luar bandar, pengundi Melayu yang sudah pun kecewa dengan pusingan U PH berhubung janji pilihan rayanya.

“Hasilnya membuktikan bahawa PH masih tidak mendapat sokongan orang Melayu dan sokongan daripada komuniti ini terlalu kecil,” kata Azlan yang merupakan pengarah eksekutif Ilham Centre.
“Umno-PAS berjaya menawan undi Melayu terutamanya dari Felda dan pengundi muda kerana kegagalan PH menangani isu-isu Melayu-Islam dan menyelesaikan masalah-masalah sara hidup.”

Sokongan PAS kepada BN membantu melonjakkan lagi tahap sokongan terhadap pakatan pembangkang dalam kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Jelai, yang merupakan kerusi DUN kepada pengerusi BN Pahang dan menter besar negeri itu, Wan Rosdy Wan Ismail.

PAS berjaya mendapat 3,587 undi pada PRU14 dan pada pilihan raya kecil semalam, undi-undi ini membantu meningkatkan majoriti kemenangan BN kepada 3,238. Pada PRU13, BN hanya dapat mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 597 undi.

Namun, menurut pemerhati, gabungan undi Umno-PAS pada pilihan raya kecil adalah sama seperti pada pilihan raya umum iaitu kira-kira 56%, menunjukkan bahawa tahap sokongan PH tidak menurun sebanyak yang diramalkan.

Walaupun sokongan untuk PH meningkat sedikit di Jelai yang merupakan salah satu daripada tujuh PDM majoriti Melayu, ia tidak mencukupi untuk mengimbangi prestasi biasa PH di lima kawasan majoriti kaum Cina dan lima daerah majoriti India.

Hanya satu yang nyata untuk PH adalah ia berjaya meningkatkan tahap sokongan di kalangan pengundi Orang Asli, dari purata 10% pada Pilihan Raya Umum ke-14 hingga 30% semalam, kata Pengurus Penyelidikan Merdeka Centre, Tan Seng Keat.

Peningkatan undi daripada suku kaum Semai, yang sebahagian besarnya di Jelai, terhadap PH berlaku walaupun calon BN, Ramli Mohd Nor berasal dari masyarakat itu.
“Sejak 9 Mei, kerajaan persekutuan PH kurang tumpuan terhadap dasar pengundi luar bandar di pantai timur dan Felda. Jadi keputusan pada pilihan raya ini tidak mengejutkan.”

Peningkatan kecil

Dalam analisis awal bagi kerusi Parlimen itu, pakar strategik PH Dr Ong Kian Ming menggariskan beberapa sasaran utama yang perlu dicapai oleh gabungan itu untuk mempunyai peluang memenangi kerusi tersebut.

Pertama, PH perlu memastikan kadar jumlah keluar mengundi dalam kalangan penyokong utama, orang Cina dan India, tidak turun di bawah 55%. Melihat kepada 10 Pusat Daerah mengundi (PDM) di mana pengundi Cina dan India yang membentuk majoriti menunjukkan bahawa ini tidak berlaku.

Lima PDM majoriti Cina Lembah Bertam, Bandar Ringlet, Kea Farm, Kampung Raja dan Teringkap mencatatkan jumlah keluar pengundi berdaftar di bawah 50%. Yang tertinggi berada di Kea Farm pada 48.85%, manakala yang terendah adalah di Kampung Raja 16.43%.

Jumlah keluar mengundi lebih teruk lagi di daerah majoriti India Ladang Boh Satu, Ladang Boh Dua, Ladang Sungai Palas, Ladang Blue Valley dan Kampung Terla. Peratusan tertinggi adalah di Ladang Sungai Palas pada 38.1% dan terendah di Ladang Blue Valley pada 4.41%.

Peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kecil Cameron Highlands mencatatkan penurunan berbanding pada PRU14.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 27 Januari, 2019

Pada PRU14, PH memenangi 76.9% undi di kawasan majoriti Cina dan 61.4% undi di kalangan orang India, menurut Kian Ming.

Kedua, PH perlu meningkatkan sokongan daripada pengundi Orang Asli 10% hingga 30% dan walaupun ini berlaku berkata Seng Keat, tidak cukup defisit pengundi Cina dan India.

Tetapi kekurangan sokongan daripada pengundi Melayu yang mengekalkan kerusi itu kepada BN, kata penganalisis.

“Sokongan di kalangan orang Melayu hanya bertambah sedikit. Di kawasan luar bandar seperti Jelai dan Felda, PH masih tidak mempunyai rangkaian dan perhubungan, di mana penduduk hanya mengetahui Umno dan PAS,” kata Seng Keat dari Merdeka Centre.

Azlan dari Ilham Centre berkata pilihan raya itu menunjukkan terdapat undi protes yang jelas terhadap PH dan peningkatan sokongan di kalangan orang Melayu terhadap BN.

“Kami juga melihat pengundi muda, yang kemungkinan telah mengundi PH pada pilihan raya umum lalu, mengundi BN di daerah-daerah mengundi Felda. Ini menunjukkan mereka tidak puas hati dengan pengesanan dasar PH terutamanya apabila ia sampai ke Felda.”

Sekiranya trend penurunan sokongan Melayu berterusan, ia akan mewujudkan krisis keyakinan dalam PH, yang menurut Azlan boleh mengancam kestabilannya di Putrajaya. – 27 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen