Gaji tak naik, terpaksa hantar makanan untuk tambah pendapatan 


Nabihah Hamid

PENDAPATAN bulanan mereka tidak mencecah RM2500. Tanggungan bulanan mereka tinggi kerana perlu menyara keluarga dan harga barang keperluan pula sentiasa meningkat naik. 

Selepas pulang daripada kerja waktu pejabat, mereka masih tidak pulang ke rumah sebaliknya menunggang motosikal sebagai penghantar makanan menggunakan aplikasi GrabFood. 

Faktor utama yang diberitahu oleh pekerja ini adalah faktor gaji yang kecil dan tidak meningkat walau sudah lama bekerja.

Salah seorangnya Mohammad Fawwas Ameran, 28 yang berasal daripada Batang Kali, Selangor pulang ke rumah jam 11 malam hampir setiap hari. 

Bapa anak satu itu bekerja sebagai penghantar surat di sebuah syarikat swasta perlu membuat dua kerja demi menyara keluarganya. 

“Selepas habis kerja waktu pejabat pukul 5, saya akan sambung kerja jadi Grabfood rider. Pejabat saya di Kuala Lumpur jadi saya terus sambung kerja sambilan itu. 

“Setiap hari saya sasar 10 penghantaran. Dengan wang itu lepaslah duit belanja anak dan perbelanjaan rumah. Kerja saya gaji kecil sahaja semua saya buat bayar komitmen,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Fawwaz berkata dengan kos sara hidup yang tinggi, beliau tidak boleh hanya bergantung kepada satu kerja sahaja. 

“Buat kerja sambilan ini saya dapat pendapatan separuh daripada gaji saya. Dari situ saya juga buat simpanan untuk masa depan. 

“Sekarang ekonomi merosot, barang mahal. (Kos lampin bayi) dan susu pun sudah ratus-ratus. Ini baru seorang anak dan isteri juga kerja,” katanya yang sudah beberapa bulan membuat dua kerja. 

Dari kiri, Syafiq Roseland, Mohammad Fawwas Ameran dan Hafiz Sohaimi menjadi penghantar makanan Grab untuk mencari pendapatan lebih.– Gambar The Malaysian Insight, 3 Februari, 2019

Selain menanggung bayaran sewa rumah, Fawwaz juga perlu membayar ansuran pembelian kereta dan motosikal.

Senasib dengannya, Hafiz Sohaimi berkata beliau menjadi penghantar makanan Grab untuk mencari pendapatan lebih. 

Selain komitmen yang tinggi kerana mempunyai kereta dan rumah, jurugambar tersebut, 28 tahun, juga menyara adik bongsunya berusia 19 tahun yang bersekolah khas. 

“Saya ada rumah untuk dibayar. Harga barang mahal. Gaji yang sekarang memang tidak cukup. Kerja jadi rider Grabfood ini memang bantu saya kumpul duit. 

“Adik perempuan saya Orang Kurang Upaya (OKU) masih bersekolah. Saya juga merancang untuk berkahwin,” katanya yang tinggal di Ampang. 

Malah ada juga yang menjadi penghantar makanan sebagai pekerjaan sepenuh masa. Seorang darpadanya Syafiq Roseland, beliau sanggup meninggalkan pekerjaan lama sebagai pembekal telefon bimbit.

Dengan pekerjaan baharu itu, pendapatan bulanannya boleh mencecah RM5,000, kata Syafiq dan beliau dapat bekerja mengikut kelapangan waktu sendiri., 

“Kerja ini saya pilih sebab fleksibel. Kita boleh susun waktu kita. Tetapi nak dapat gaji banyak kenalah lebih rajin.

“Saya selalu sasarkan sekurang-kurangnya 20 penghantaran makanan setiap hari. Modal minyak saya baru RM20 (sehari), katanya yang sudah hampir setengah tahun menjadi penghantar makanan. 

Beliau menambah, dirinya perlu membuat simpanan sendiri kerana pekerjaan tersebut tidak menyediakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

“Bila saya ada sejumlah duit, saya masukkan dalam simpanan ASB (Amanah Saham Bumiputera) ataupun (KWSP). 

“Sebab kerja ini duit banyak tapi kita kena beringatlah untuk ada simpanan,” katanya yang berulang-alik dari Rawang ke Kuala Lumpur untuk bekerja. – 3 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen