Yang menang dan yang kalah di Cameron Highlands


Chan Kok Leong

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berjaya mengendalikan PRK Cameron Highlands dengan cemerlang dan tegas dalam menjalankan tugasnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 26 Januari, 2019.

KERUSI Parlimen Cameron Highlands menjadi kerusi panas ketika ia dikosongkan dan Pakatan berharap ia dapat meneruskan kemenangan di pilihan raya kecil (PRK) kelima selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tahun (PRU14) lalu.

Namun malam ini, ahli politik baharu Ramli Mohd Nor mengungguli kejayaan BN dengan margin kemenangan lebih besar buat parti itu.

Di sini sorotan mengenai mereka yang menang dan yang kalah di Cameron Highlands.

YANG MENANG

Najib Razak

Walaupun diselubungi 39 pertuduhan jenayah, bekas perdana menteri itu menjadikan arena PRK sebagai tempatnya menarik pengaruh dengan penuh gaya, beliau muncul beberapa kali sepanjang kempen melebihi pemimpin Umno yang lain.

Sepanjang kempen, Najib membolot tajuk-tajuk utama media dengan ulasan beliau di media sosial, beliau dipaparkan menziarahi orang sakit dan warga emas dan bahkan membawa kereta memasuki penempatan Orang Asli daripada suku Semai menggunakan trak. Beliau bahkan sempat mempopularkan slogan “Malu Apa Bosku?” yang kemudian disambut penyokong-penyokongnya di media sosial.

Barangkali ramai yang terfikir bahawa Najib adalah calon PRK.

Bekas presiden Umno itu menguruskan imejnya untuk terus berada di bawah lampu limpah dan membayangi pimpinan Umno hari ini di samping berjaya menarik simpati terhadap beliau.

Ramli Mohd Nor

Ramli Mohd Nor akan mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen Mac depan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 Januari, 2019.

Polis bersara yang berjaya menempa sejarah sebagai Orang asli pertama menjadi wakil golongan itu di Dewan Rakyat. Sepanjang kempen beliau merendahkan diri dan hanya membuka mulut pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Apa-apa mengenai kehidupan peribadi, kempen dan pegangannya tidak begitu diketahui ramai. Namun Mac nanti, dia akan mula menjalankan tugas sebagai penggubal undang-undang.

PAS

Persoalan mengenai adakah ahli-ahli PAS akan mengundi musuh utama mereka Barisan Nasional terjawab dalam PRK kali ini.

Keputusan awal dari pusat-pusat mengundi yang mempunyai pengundi majoriti Melayu menunjukkan ahli PAS membantu kemenangan BN sebanyak 3,238 undi.

Ceramah PAS dibanjiri ribuan penyokong parti Islam itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2019.

Misalnya di Bukit Kota, BN berjaya menggandakan undi daripada 331 sehingga 639 undi pada PRK kali ini selepas pimpinan PAS berjanji untuk menghalakan undi-undi penyokong mereka kepada BN. Trend yang sama turut dilihat di pusat mengundi Sungai Koyan dan Bukit Keledek, yang sebelum ini dimenangi PAS.

Perkauman

Perkauman adalah pemenang besar di PRK kali ini apabila beberapa pengundi memberitahu media bahawa mereka tidak akan mengundi calon India merujuk calon DAP M. Manogaran, setelah kerajaan PH tidak berjaya mengendalikan hubungan awam mengenai perancangannya untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Bagi Menghapuskan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di samping ulasan-ulasan menteri berbangsa India yang menghangatkan suasana ketika kejadian berdarah di kuil Hindu Seafield, Subang Jaya akhir tahun lalu.

Kempen kebencian turut menyusup dalam ceramah-ceramah yang mengatakan Islam dan Melayu telah dipandang kecil selepas pilihan raya umum tahun yang menyaksikan PH berjaya memenangi kuasa persekutuan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun mengendalikan PRK kali ini dengan cemerlang. Dari awal hari penamaan calon, beliau mencadangkan calon-calon menyerahkan dokumen pencalonan lebih awal, bagi mengelakkan drama calon tidak layak bertanding.

Berbeza dengan amalan sebelum ini. Beliau juga memulakan pengumuman keputusan tidak rasmi SPR, membolehkan keputusan dapat diketahui lebih awal sebelum 7 malam. Sepanjang tempoh kempen beliau turut menegur parti kerajaan dengan tegas apabila mereka melepasi sempadan peraturan kempen. Satu perkara yang tidak pernah dilihat daripada pengerusi-pengerusi SPR sebelum ini.

YANG KALAH

Pakatan Harapan

Ini adalah PRK pertama yang menyaksikan kekalahan pakatan pemerintah sebagai parti yang memerintah kerajaan persekutuan, dan ia menceritakan banyak hal mengenai pentadbiran mereka selama lapan bulan pertama ini.

Kempen PRK kali ini dicalarkan dengan beberapa kesilapan, bermula dengan calon tiga kali PH M. Manogaran yang menyifatkan ancaman Senator Bob Manolan sebagai “kuih”.

Di samping itu, hutang kerajaan Pahang turut digunakan sebagai topik pilihan raya di waktu tularnya laporan-laporan bahawa kemudahan kerajaan digunakan sewaktu tempoh kempen pilihan raya.

Namun apa yang lebih buruk, PH tidak mampu menarik penduduk pedalaman  dan orang Melayu terhadap pakatan pemerintah itu yang masih mempunyai nada seperti seperti pembangkang  ketika meeka menjawab kritikan-kritikan daripada BN.

PH akan diuji sekali lagi di Semenyih bulan depan.

M. Manogaran 

Mendapat keadilan berhubung aktiviti rasuah yang dilakukan bekas ahli parlimen C. Sivarraajh daripada BN, yang sebelum ini menang ketika PRU14 namun kemenangannya dibatalkan oleh mahkamah pilihan raya, sehingga PRK diadakan.

Manogaran tunduk menerima kekalahan beliau dalam PRK Cameron Highlands, beliau menyalahkan BN kerana menggunakan isu perkauman sepanjang kempen. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 Januari, 2019.

Manogaran adalah orang yang bertanggungjawab membawa petisyen membantah keputusan PRU14 itu, walaupun berjaya dalam proses perundangan itu, dia tetap gagal menaikkan rasa teruja para pengundi sepanjang kempen PRK.

Satu demi satu kesilapan dilakukan beliau dari awal hari penamaan calon sehingga hari membuang undi yang menyaksikan Manogaran memakai baju berlogo Pakatan Harapan.

Ini adalah percubaan kali ketiga bekas ahli Parlimen Teluk Intan itu, namun tetap gagal memenangi kerusi Cameron Highlands.

MIC

PRK kali ini menjadi satu lagi tamparan buat MIC kerana hilang sebuah lagi kerusinya di Dewan Rakyat.

Cameron Highlands dimenangi MIC sejak 2004. Namun demi BN, MIC mengorbankan kerusi itu dan memberinya kepada Umno.

Dari sebuah parti yang bertanding sembilan kerusi parlimen pada PRU13, MIC kini hanya memiliki satu kerusi persekutuan dan tiga kerusi DUN. Bagaimanapun ia masih mempunyai lebih satu kerus DUN daripada komrad Cinanya, MCA. – 26 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen