CALON Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran berkata kekalahan beliau pada Pilihan Raya (PRK) Kecil Cameron Highlands hari ini adalah kerana Barisan Nasional (BN) memainkan isu perkauman.
“BN main isu kaum, saya tak salahkan pengundi. Ini menjadikan kami lebih kuat kerana kami tidak memandang agama dan kaum,” kata beliau dalam reaksi pertamanya kepada pemberita selepas keputusan tidak rasmi menunjukkan BN berjaya mengekalkan kerusi Parlimen itu.
Kekalahan Manogaran pada PRK kali ini merupakan kekalahan ketiganya di kerusi Cameron Highlands. Beliau sebelum ini bertanding pada pilihan raya umum 2013 dan 2019.
Bagaimanapun, bekas ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata PRK ini adalah permulaan untuk mendapatkan pengundi di Jelai yang berjaya dikekalkan BN.
“Walaupun kalah, kami berjaya sampai kepada Orang Asli di Jelai. Ini petanda bagus di masa depan.
“Kami perlu terus berkhidmat di Jelai, begitu juga di Tanah Rata. Kami mempunyai jentera yang luar biasa, malangnya keadaan di sini berbeza.
“Di sini ialah kawasan pedalaman… kami sudah buat yang terbaik, hari ini sudah terbukti,” katanya krtika ditemui di pusat operasi PH di Brinchang.
Kertas undi masih dikira di pusat kiraan undi SPR di Tanah Rata. Walaupun pengumuman rasmi belum dibuat, kiraan undi setakat ini menunjukkan calon BN, Ramli Mohd Nor menang dengan 11,381 manakala PH memperoleh 7,182 undi. Ini memberikan majoriti 4,199 kepada BN. – 26 Januari, 2019.
Komen