IRAN menuduh Perancis menjadi faktor ketidakstabilan di wilayah itu selepas menteri luar negerinya mengugut akan mengenakan sekatan baharu ke atas Tehran berhubung program peluru berpandunya.
“Negara ini sering menyeru kepada mengukuhkan keamanan dan kestabilan di rantau ini,” kata Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
“Sehubungan itu, Iran menganggap penjualan besar-besaran senjata canggih oleh Perancis menjadi faktor ketidakstabilan bagi keseimbangan rantau ini.”
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan Menter Luar Perancis Jean-Yves Le Drian semalam berkata Paris bersedia untuk mengenakan sekatan baharu terhadap Iran sekiranya rundingan tiada perkembangan mengenai program peluru berpandunya.
“Dialog kami dengan Iran bermula dengan sukar… jika tiada kemajuan, maka kami bersedia untuk mengenakan sekatan dengan tegas, dan mereka tahu mengenai perkara ini,” kata Le Drian.
Menteri luar Perancis itu juga menggesa supaya Iran mengubah tingkah laku di wilayah itu, khasnya mengenai tentera yang ditempatkan di Syria.
Iran membalas kenyataan dengan berkata program peluru berpandunya tidak boleh dirunding dan memberi amaran akan mengkaji hubungan antara mereka jika Kesatuan Eropah mengenakan sebarang sekatan baharu. – AFP, 26 Januari, 2019.
Komen