China buru 19 suspek anjur demo pesara tentera


Beribu-ribu pesara tentera China mengadakan tunjuk perasaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi membantah tindakan kerajaan menyekat faedah yang diterima mereka. – Gambar AFP, 26 Januari, 2019.

PIHAK berkuasa China mengarahkan penahanan 19 orang yang didakwa terlibat dalam penganjuran tunjuk perasaan oleh veteran tentera di dua bandar utama pada tahun lalu.

Kesemua 19 individu tersebut dituduh menganjurkan himpunan untuk mengganggu ketenteraman awam di bandar Pingdu pada Oktober dan bandar Zhenjiang pada Jun tahun lalu, dengan niat mencetuskan kekecohan.

Arahan penahanan itu dikeluarkan oleh mahkamah China.

Himpunan di Zhenjiang dianjurkan untuk membantah kes seorang veteran tentera dipukul kerana meminta pencen yang lebih tinggi.

Insiden itu membayangkan kemelut yang dihadapi pesara tentera di negara yang mempunyai askar paling ramai di dunia untuk mendapatkan faedah pencen yang lebih baik.

Pihak berkuasa China tidak bertoleransi terhadap tunjuuk perasaan awam, tetapi Tentera Pembebasan Rakyat dan pesara tentera sering mendapat penghormatan umum.

Tunjuk perasaan itu berterusan selama beberapa hari di Zhenjiang sebelum polis masuk campur.

Sembilan suspek yang menganjurkan tunjuk perasaan di Zhenjiang didakwa mengumpul lebih 1,000 orang di depan bangunan kerajaan dan mereka berhimpun secara haram selain bertindak ganas dengan polis dan staf keselamatan.

Di Pingdu, seramai 10 orang dipercayai menganjurkan himpunan yang sama dan keadaan di bandar itu lebih ganas apabila penunjuk perasaan menyerang polis, memecahkan kereta dan mengganggu operasi kerajaan.

Beribu-ribu pesara tentera mengadakan tunjuk perasaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi membantah tindakan kerajaan menyekat faedah yang diterima mereka.

Pada 2016 kementerian pertahanan China berikrar untuk meningkatkan taraf hidup pesara tentera selepas himpunan besar-besaran diadakan di luar pejabat tentera di Beijing. – AFP, 26 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen