KERAJAAN Australia berdepan tugas sukar untuk mengekalkan kuasa pada pilihan raya akan datang apabila seorang lagi menteri Kabinet mengumumkan persaraan dari dunia politik hari ini, lapor portal abc.net.au.
Nigel Scullion, Menteri Hal Ehwal Orang Asli menjadi menteri ketiga meletak jawatan dari politik apabila beliau mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya yang dijadualkan berlangsung tahun ini.
Senator Scullion mengikut jejak Menteri Perkhimatan Manusia Michael Keenan dan Menteri Perhubungan Industri dan Pekerjaan Kelly O’Dwyer yang kedua-duanya meletak jawatan dari politik pada minggu ini dengan alasan mahu menumpukan masa untuk keluarga.
Senator Scullion membuat pengumuman itu pada sambutan Hari Australia, sekali gus mengakhiri karier politiknya selama 17 tahun.
Bagaimanapun beliau kekal sebagai menteri hal ehwal Orang Asli sehingga pilihan raya akan datang.
Perdana Menteri Scott Morrison bagaimanapun menolak dakwaan bahawa ketiga-tiga menteri itu mahu meninggalkan kerajaan yang sedang berdepan masalah.
Beliau turut menafikan bahawa keputusan ketiga-tiga menteri itu akan menjejaskan peluang kerajaan memenangi pilihan raya akan datang.
Morrison berkata keputusan itu dibuat atas faktor peribadi. – 26 Januari, 2019.
Komen