PIHAK berkuasa Britain melakukan siasatan terhadap isu lesen penerbangan juruterbang pesawat yang membawa penyerang baharu Cardiff City, Emiliano Sala.
Siasatan itu djalankan selelepas pesawat kecil yang membawa penyerang berusia 28 tahun itu hilang dari radar kira-kira 20 kilometer dari utara pulau Guernsey, Isnin lalu.
Pasukan pengawal pantai pada Rabu menamakan juruterbang itu sebagai David Ibbotson, seorang bapa berusia 60 tahun dan mempunyai tiga orang anak.
Juruterbang itu berasal dari utara England.
Seorang jurucakap Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB) berkata lesen juruterbang itu mungkin diteliti sebagai sebahagian siasatan kehilangan pesawat tersebut.
“Kita akan meneliti aspek operasi pesawat termasuk lesen yang digunakan.
“Tujuan kita bukan untuk menuding jari tetapi siasatan itu sebagai mencari punca sebenar kejadian,” kata jurucakap itu yang enggan mendedahkan namanya.
Ibbotson dilaporkan sempat memberitahu rakannya tentang keadaan pesawat yang kurang elok sebelum berlepas membawa Sala.
Sala yang menandatangani kontrak bersama Cardiff City dari kelab Perancis, Nantes dengan harga AS$19.3 juta, diterbangkan menggunakan pesawat Piper PA-46 Malibu yang berdaftar di Amerika Syarikat (AS).
Menurut data Pentadbiran Penerbangan Persekutan AS, Ibbotson memiliki lesen penerbangan Britain yang membolehkan beliau membawa pesawat berenjin satu.
Bagaimanapun Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Britain berkata, pihaknya masih belum dapat mengesahkan jenis lesen yang dimiliki Ibbotson. – AFP, 26 Januari, 2019.
Komen