Wabak campak, Washington isytihar darurat


Penyakit campak diisytiharkan berjaya dihapuskan di Amerika Syarikat pada 2000 tetapi timbul semula susulan kes dari luar negara dan kebangkitan pergerakan anti-vaksin. – Gambar EPA, 26 Januari, 2019.

DARURAT diisytiharkan pada Jumaat di Washington, Amerika Syarikat susulan wabak campak menjangkiti lebih 20 orang yang majoritinya terdiri daripada kanak-kanak.

Penyakit ini diisytiharkan berjaya dihapuskan di AS pada 2000 tetapi timbul semula susulan kes dari luar negara dan kebangkitan pergerakan anti-vaksin.

“Campak adalah penyakit berjangkit yang boleh menular dan boleh membawa maut kepada kanak-kanak kecil,” kata Gabernor Washington, Jay Inslee dalam satu kenyataan.

“Kewujudan lebih 26 kes yang disahkan di negeri Washington mencetuskan risiko kesihatan awam yang melampau yang mungkin pantas merebak ke daerah lain.”

Wabak itu bermula di Portland, Oregon, pada awal tahun ini dan dengan cepatnya merebak ke Daerah Clark dan King yang berhampiran, kedua-duanya terletak di Washington.

Para pegawai kesihatan memberi amaran yang individu dijangkiti penyakit itu pernah ke sekolah, gereja, pejabat doktor gigi, kedai Costco, sebuah kedai Ikea dan lapangan terbang Portland.

Majoriti yang dijangkiti adalah kanak-kanak, kebanyakannya tidak menerima imunisasi terhadap penyakit itu, kata para pegawai.

Mereka menambah wabak itu masih boleh berlaku ketika tempoh pengeraman virus yang dalam purata berlaku 14 hari.

Mereka yang dijangkiti boleh menyebarkan campak kepada orang lain empat hari sebelum dan empat hari selepas ruam muncul.

Penyakit mudah berjangkit ini boleh menyebabkan cirit-birit yang teruk, radang paru-paru dan kehilangan penglihatan, dan akhirnya boleh membawa maut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada November memberi amaran kes campak di seluruh dunia melonjak lebih 30% pada 2017 berbanding tahun sebelumnya, sebahagiannya berpunca daripada kanak-kanak tidak diberikan vaksin. – AFP, 26 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen