Memalukan jika BN menang sekali lagi, kata Mat Sabu


Sheridan Mahavera

Presiden Amanah, Mohamad Sabu mendesak orang Melayu Jelai memikirkan betapa memalukannya jika mereka mengundi sebuah parti yang didapati bersalah kerana rasuah dan amalan rasuah pada pilihan raya umum lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Januari, 2019.

PEMIMPIN Islam Pakatan Harapan (PH) melakukan usaha terakhir untuk merayu peralihan undi Melayu agar mempunyai rasa malu pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands hari ini.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu mendahului rakan wakil rakyat daripada Amanah mendesak orang Melayu Jelai memikirkan betapa memalukannya jika mereka mengundi sebuah parti yang didapati bersalah kerana rasuah dan amalan rasuah pada pilihan raya umum lalu.

Para penceramah PH, yang sebahagian besarnya daripada Amanah, parti komponen, juga bergilir-gilir menyeru penyokong dan ahli PAS mengabaikan keputusan presiden mereka untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dibatalkan oleh mahkamah pilihan raya selepas mendapati bekas ahli Parlimen Cameron Highlands, Sivaraajh Chandran daripada BN menyuap pengundi untuk memilihnya pada PRU14.

“Ini kali pertama pilihan raya diadakan kerana rasuah. Kita tidak tahu berapa banyak lagi PRK yang akan diadakan kerana sebab ini. Tetapi kalau BN menang pilihan raya ini dulu dalam PRU14 dengan rasuah, takkan kamu semua nak pilih BN lagi?” soal Mohamad kepada orang ramai yang hadir di ceramahnya di Kuala Medang.

Seorang lagi pemimpin Amanah, Adnan Saad dari Kedah juga menggesa pengundi calon BN mempertimbangkan hakikat yang undi untuk BN dan Umno, adalah undi bagi pemimpin yang telah ditangkap dengan jutaan wang tunai di rumah mereka.

Pada PRU14, Pakatan Harapan hanya berjaya memenangi 9% dan 10% undi Melayu dan Orang Asli bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2019.

“Jika kamu undi BN, kamu undi untuk pemimpin yang kena tangkap dengan berjuta-juta wang tunai dalam rumah mereka. Apa yang mereka buat dengan berjuta-juta wang tunai ini?

“Mereka ini juga bakal didakwa di mahkamah. Jadi buat apa nak undi mereka?” kata Adnan, yang merupakan pengarah pilihan raya Amanah Kedah.

Manogaran daripada PH akan menentang Ramli Mohd Nor daripada BN dan dua orang calon Bebas, Wong Seng Yee dan Sallehudin Md Talib pada PRK hari ini.

Jelai, lokasi ceramah malam tadi mempunyai sebahagian besar undi Melayu dan Orang Asli bagi kawasan Parlimen dan menjadi medan pertempuran utama antara semua parti.

Dalam PRU14, PH hanya berjaya memenangi 9% dan 10% undi Melayu dan Orang Asli.

BN cuba mempertahankan sokongannya di kalangan orang Melayu dengan berterusan bercakap mengenai kejatuhan harga minyak sawit dan getah yang menjejaskan ramai ahli masyarakat yang bergantung kepada tanaman ini.

Ia juga menggunakan retorik perkauman terhadap PH dan calonnya Manogaran, yang merupakan berketurunan India.

Pesaing BN, PAS memutuskan untuk menyokong calon BN dan 3,500 undi diterima parti Islam itu pada PRU14 boleh mempengaruhi keputusan PRK yang dimenangi kurang 600 undi.

Para pemimpin dan aktivis PAS berusaha keras memastikan para penyokongnya akan mengundi Ramli daripada BN.

Tindakan PAS dikritik pada ceramah PH malam tadi sebagai dwistandard, terutama serangan terhadap DAP yang dituduh sebagai anti-Islam.

“Sebelum ini, para pemimpin PAS memberitahu anda agar melawan BN dan sekarang mereka memberitahu anda boleh bekerjasama dengan BN?” kata Mohamad, yang merupakan bekas timbalan presiden PAS.

“Sekarang PAS mengatakan tidak boleh mengundi bukan Islam, tetapi bagaimana dengan 10 tahun ketika ia bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat?” – 26 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen