Insiden letupan pangsapuri di China ragut satu nyawa


Rakaman yang tersebar dalam media sosial menunjukkan letupan di sebuah bangunan dipercayai pangsapuri Plaza Wanda di timur laut China. – Gambar Facebook, 25 Januari, 2019.

SEKURANG-kurangnya seorang maut dan seorang lagi cedera dalam kejadian letupan berkembar di sebuah pangsapuri di timur laut China hari ini.

Pihak berkuasa menyifatkan kejadian itu sebagai kes jenayah kerana dipercayai ada unsur-unsur khianat.

Letupan pertama berlaku pukul 3.13 petang waktu tempatan apabila pasukan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung satu letupan kereta di tempat letak kereta bawah tanah di Plaza Wanda di Changchun.

Tiga minit kemudian, letupan kedua berlaku di sebuah pejabat di tingkat 30 kompleks itu. 

Kenyataan awal menyebut letupan tersebut menyebabkan seorang mangsa maut.

Kerajaan Changchun berkata siasatan jenayah telah dibuka susulan kejadian letupan itu.

Saksi kejadian mendakwa mendengar lebih 20 letupan dan orang ramai dikeluarkan dari bangunan di sekitar pangsapuri tersebut.

Malah rakaman yang tersebar dalam media sosial juga menunjukkan asap tebal dan letupan dapat dilihat dari sebuah bangunan.

Kesahihan rakaman itu tidak dapat dipastikan. – AFP, 25 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen