Hampir sejuta wang bekas presiden Zimbabwe dicuri


HAMPIR sejuta dolar wang tunai dicuri dari sebuah beg bimbit milik bekas presiden Zimbabwe Robert Mugabe, lapor media negara itu hari ini.

Hal itu didedahkan berdasarkan maklumat perbicaraan tiga suspek termasuk seorang saudara bekas pemimpin itu yang didakwa mencuri wang milik bekas pemimpin tersebut.

Menurut dokumen mahkamah itu, Mugabe mengisi beg tersebut dengan wang berjumlah sejuta dolar dan menyimpannya di dalam perpustakaan di rumahnya di Zvimba pada 2016.

Bagaimanapun hanya AS$78,000 ditemukan dalam beg itu pada 6 Januari lalu, lapor akhbar The Herald yang memetik kenyataan dokumen itu.

Tiga tertuduh tersebut termasuk Constancia Mugabe, 50, yang merupakan saudara bekas presiden itu, dihadapkan ke mahkamah semalam sebelum diarahkan berbuat demikian semula pada 7 Februari depan.

Ketiga-tiga suspek itu dipercayai menggunakan wang curi itu untuk membeli kereta, rumah dan ladang ternakan.

Lokasi Mugabe masih belum diketahui sejak hujung November lalu apabila penggantinya, Presiden Emmerson Mnangagwa berkata bekas pemimpin berusia 94 tahun itu berada di Singapura untuk mendapatkan rawatan dan tidak mampu berjalan.

Pemerintahan Mugabe selama 37 tahun dicemari isu rasuah, ekonomi lemah dan penindasan. – AFP, 25 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen