Langsung: Hari ke-4 RCI forex Bank Negara


The Malaysian Insight

Pada sidang ketiga semalam, bekas juruaudit kanan Bank Negara Malaysia, P. Kanason Pothinker memaklumkan bank pusat itu mengabaikan amaran berulang-kali mengenai urus niaga forex tidak mematuhi peraturan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2017.

SESI pendengaran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi kerugian urus niaga pertukaran mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990an diteruskan untuk hari keempat di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Pada sidang ketiga semalam, bekas juruaudit kanan, P. Kanason Pothinker berkata BNM mengabaikan beberapa kali amaran mengenai urus niaga mata wang asing (forex) yang tidak mematuhi peraturan.

P. Kanason, 78, memberitahu pasukannya mendapati pedagang bank pusat “terlibat dalam dagangan mata wang asing” yang berjumlah sehingga RM50 juta sehari.

Beliau memberitahu panel yang beliau meminta bantuan daripada bekas ketua penasihat perkhidmatan Ainum Mohamed Saaid di kamar undang-undang, dan “secara lisan” memaklumkan yang urus niaga forex BNM tidak mematuhi Akta Bank Negara Malaysia 1958.

“Saya menelefon Ainum dan diberitahu, seingat saya dia berkata, ‘orang atasan cakap jangan campur tangan’ dan saya dijanjikan jawapan, dan nasihat bertulis daripada Jabatan Peguam Negara yang isu itu akan diselesaikan di antara ketua auditor dan gabenor Bank Negara,” kata Kanason.

“Saya tak tanya Ainum siapa ‘orang atasan’ yang dia maksudkan dan dia juga tidak memberitahu saya,” katanya,” katanya.

Bekas penolong bank pusat Abdul Murad Khalid mendakwa pada hari pertama pendengaran yang BNM mengalami kerugian forex sehingga AS$10 bilion, 25 tahun lalu.

Sidang RCI yang kedua pada 21 Ogos juga mendengar penerangan daripada bekas kakitangan BNM yang terdapat kelemahan penyeliaan di jabatan forex bank pusat itu.

The Malaysian Insight membawa kepada anda perkembangan terkini prosiding:

4.53pm: Prosiding hari keempat tamat.

4.43pm: Ahli panel iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Tajuddin Atan bertanya jika Herbert sedar terdapat perubahan dalam pemulihan akaun bagi kerugian itu, dan Herbert menjawab tidak.

Herbert juga berkata beliau tidak ingat jika ada bertemu peguam negara ketika bagi membincangkan kerugian itu.

Peguam mewakili Dr Mahathir Mohamad, Haniff Khatri Abdulla kemudian meminta panel membenarkannya menyoal sama ada laporan tahunan BNM dibentangkan di Parlimen ketika Herbert pergi ke pejabat perdana menteri pada akhir 1993.

Herbert berkata beliau tidak tahu tetapi percaya laporan itu sepatutnya sudah disediakan ketika itu.

Pada masa itu kata Haniff, orang sudah mula bercakap tentang kerugian BNM pada 1992 dan 1993. Herbert berkata beliau tidak tahu dan tidak dapat berikan jawapan.

Haniff kemudian bertanya sekali lagi kepada Herbert mengapa Dr Mahathir berkata (apabila diberitahu mengenai kerugian BNM) “kadang-kadang kita buat untung dan kadang-kadang kita rugi”. Herbert tidak dapat berikan jawapan.

Seorang peguam lain kepada Dr Mahathir, Gurdial Singh menanyakan Herbert tentang nota yang disediakannya untuk menteri kewangan masa itu, Anwar Ibrahim berkaitan kerugian BNM.

“Adakah anda tahu sama ada Anwar bergantung kepada penjelasan gabenor (Jaffar Hussin) tentang perdagangan forex ketika menjwab perkara itu di Parlimen?” soal Gurdial.

Sudah tentu, kata Herbert kerana Jaffar telah bercakap dengan Anwar.

4.40pm: Herbert berkata beliau mengetahui BNM muflis sekitar 1993 atau awal 1994 daripada timbalan gebenor Lin Se Yan.

“Kami bertemu di pejabat saya dan memberitahu yang BNM muflis disebabkan kerugian forex,” Herbert memberitahu panel.

“Kami berbincang tentang bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini dan bersetuju Kementerian Kewangan akan memindahkan saham TNB dan Telekom kepada BNM pada harga nominal, dan BNM akan menilai semula saham-saham terbabit mengikut harga pasaran dalam kunci kira-kira BNM.

“Saya menernagkan kepada Anwar dan beliau setuju dengan pemindahan saham TNB dan Telekom kepada BNM bagi mengukuhkan kunci kira-kira BNM,” kata Herbert.

4.33pm: Herbert yang merupakan timbalan ketua setiausaha Kementerian Kewangan (II) ketika kerugian forex berkata beliau dan gabenor BNM pada masa itu, Jaffar Hussein berbincang mengenai perkara itu dan Jaffar memberitahunya supaya menyediakan satu nota kepada menteri kewangan, Anwar Ibrahim untuk digunakan di Parlimen.

“Jaffar beritahu saya yang kebanyakan bank pusat ketika itu alami kerugian atas urusniaga forex kerana pasaran forex sangat tidak menentu.”

Katanya, sama ada bekas penolong gabenor Abdul Murad Khalid atau Awang Adek Hussin yang juga bertugas dengan BNM yang memberi taklimat kepada Anwar mengenai kerugian forex itu semasa dalam penerbangan ke Hawaii.

“Kami menasihatkan Anwar supaya mengarahkan Nor Mohamed Yackop meletak jawatan kerana pada pendapat saya, beliaulah yang bertanggungjawab ke atas kerugian yang ditanggung BNM. Anwar bersetuju dengan kami.

“Tiba di Hawaii, saya hubungi setiausaha kepada lembaga BNM dan memaklumkan yang Anwar bersetuju Nor Mohamed harus meletak jawatan dari BNM,” kata Herbert.

Beliau juga berkata tidak tahu sama ada Anwar telah memberi taklimat kepada Kabinet pada mesyuarat mingguan tentang kerugian forex dari 1990 hingga 1994.

Nor Mohamed pernah menjadi pengurus di Jabatan Perbankan BNM berhubung pertukaran mata wang asing (forex) pada 1980-an dan kemudian sebagai penasihat BNM bagi dagangan forex dari 1991 hingga 1993.

Beliau menjadi penolong gabenor dan meletak jawatan bersama gabenor (Jaffar) pada 1994 selepas kerugian itu diketahui umum.

4:05pm: Saksi keempat, bekas Timbalan Ketua Setiausaha (II) Kementerian Kewangan Clifford Francis Herbet mula memberi keterangan dan memaklumkan panel yang beliau pertama kali mengetahui kerugian forex BNM pada 1993 dan jumlah kerugian itu adalah RM30 bilion.

“Saya minta setiausaha BNM untuk sediakan dokumen berkaitan tentang kerugian forex yang dialami BNM. Saya diberikan dokumen tersebut dan mengira jumlah kerugian mencecah RM30 bilion.

“ Anwar Ibrahim (menteri kewangan ketika itu) dan saya berjumpa dengan Dr Mahathir Mohamad (perdana menteri ketika itu) di pejabatnya pada hujung 1993. Kami beri penerangan tentang kerugian dan dia menjawab ‘kadang kita buat untung dan kadang kita rugi’.”

Apabila ditanya oleh panel mengenai reaksi Dr Mahathir apabila mendengar tentang kerugian itu, Herbert berkata: “Saya menjangkakan beliau akan naik angin. Tetapi dia kelihatan biasa saja.”

Bekas setiausaha perbendaharaan, Mohd Sheriff Mohd Kasisim dipanggil sebagai saksi ketiga hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 30 Ogos, 2017.

3:50pm: Ahli panel, K. Pushpanathan bertanya kepada Sheriff sama ada ahli lembaga pengarah bank mempersoalkan kerugian RM 5.7 bilion diletakkan sebagai aset dalam baki kira-kira BNM sedangkan ia adalah kerugian.

“Saya tidak ingat. Kita tidak boleh umumkan liabiliti. Kita umumkan aset, anda tak umumkan liability,” kata Sheriff.

Beliau juga berkata yang lembaga (pengarah bank) “selesa dengan fakta yang akaun rizab diwujudkan khusus untuk ‘menyerap’ kerugian.”

Kamaludin Said juga bertanyakan Sheriff sekiranya kerugian itu boleh dianggap mempunyai kepentingan kepada negara, Sheriff mengiyakan soalan itu tetapi mengatakan beliau tidak tahu siapa yang membuat keputusan sebegitu.

Kira-kira jam 4pm, Haniff Khatri Abdulla, peguam kepada bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meminta kebenaran untuk bertanya soalan kepada saksi.

“Walaupun anda kata tidak berbincang (tentang kerugian BNM) dengan perdana menteri, adakah tugas anda untuk berbuat demikian berkenaan isu BNM?” soal Haniff.

“Tugas ketua setiausaha ialah melaporkan kepada menterinya, bukan perdana menteri,” kata Sheriff merujuk kepada orang atasannya iaitu menteri kewangan.

Sheriff selesai memberi keterangan saksi pada jam 4.03pm.

3:40pm: Ahli panel, Hakim Mahkamah Tinggi Kamaludin Said menyoal Sheriff sama ada dia tahu jumlah kerugian sebenar.

Sherif, bekas ketua setiausaha perbendaharaan berkata jumlah kerugian adalah RM15 bilion, daripada jumlah itu sebanyak RM9.3 bilion ditanggung menggunakan akaun rizab lain bank.

“Akaun itu diwujudkan untuk ‘serap’ (tanggung) kerugian. Rizab dilakukan ketika BNM buat untung,” katanya.

Sheriff berkata BNM sudah terlibat dalam perdagangan sebelum 1990 lagi, dan gabenor ketika itu, Jaffar (Hussein) pernah mengatakan bank perlu berbuat sesuatu memandangkan pasaran forex sangat tidak stabil.

“Kerugian pada 1992 dan 1991 ditanggung oleh akaun rizab. Pada 1993 rizab tidak mencukupi untuk menanggung kerugian tahun itu.

“Kerana itulah hanya RM9.3 bilion yang ditanggung rizab dan RM5.7 bilion lagi diletakkan di bawah perbelanjaan tangguhan. RM9.3 bilion tidak dinyatakan (sebagai kerugian).”

Sepucuk surat bertarikh 16 Mac 1994 yang ditulis Sheriff ketika itu kepada Audit Negara adalah tentang kerugian RM5.7 bilion sahaja.

Ditanya Kamaludin mengapa Sheriff mengabaikan surat Audit Negara yang memaklumkan tentang kerugian RM15.29 bilion, Sherif berkata, “Kami tahu tentang kerugian itu. Ia sudah diatasi. RM5.7 bilion diakui secara terbuka sebagai perbelanjaan tertangguh, sementara RM9.3 bilion lagi ditanggung rizab lain. Semua sudah diselesaikan sebelum itu.”

3.18pm: Sheriff berkata lembaga pengarah BNM tidak pernah menetapkan peraturan mengenai perdagangan forex.

“Tetapi mereka menyuarakan kekesalan kerana ketiadaan peraturan dalam urus niaga forex selepas melihat Laporan Audit Dalaman bertarikh 21 Januari 1994. Urus niaga forex yang dilakukan ketika itu adalah bagi pengurusan rizab dan bukan untuk profit.”

Bekas setiausaha agung perbendaharaan memberitahu RCI beliau bukan ahli Jawatankuasa Rizab Luar (ERC), ataupun jawatankuasa audit lembaga pengarah.

Beliau juga tidak percaya BNM cuba melindungi kerugian; sebaliknya pelarasan yang dibuat ke atas akaun keuntungan dan kerugian serta pengurusan rizab “dilakukan untuk melindungi BNM dan negara bagi mengelakkan komplikasi yang mungkin dihadapi oleh negara dan mata wang”.

3.12pm: Sheriff berkata beliau juga mengadakan perbincangan dengan Anwar mengenai kerugian forex tetapi tidak mengetahui sama ada menteri Kabinet diberitahu tentang masalah itu.

“Saya percaya gabenor atau menteri kewangan akan memaklumkan kepada perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, kerana kerugian itu mendapat liputan media yang luas dan dipersoalkan oleh para menteri,” kata bekas ketua setiausaha perbendaharaan kepada panel RCI.

Pegawai RCI, Suhami Ibrahim kemudian bertanya tentang surat yang ditulis oleh Sheriff kepada kerajaan meminta komitmennya untuk menyokong BNM berhubung kerugian itu.

“Bagaimanakah kerajaan membayar balik?” kata Suhaimi.

“Sekiranya terpaksa, mereka akan memberikan sokongan. Tanpa surat itu, ketua audit negara tidak boleh menandatangani akaun,” kata Sheriff.

“Dengan surat ini, ketua audit negara akan menandatangani akaun BNM?” soal Suhaimi.

Sheriff menjawab, “Ya”.

2.50pm: Saksi ketiga ialah Mohd Sheriff Mohd Kasisim, yang merupakan ketua setiausaha perbendaharaan dari 1991 hingga 1994.

Beliau berkata peranannya yang menguruskan kewangan kerajaan termasuk pendapatan daripada Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan akan melaporkannya kepada bekas menteri kewangan Anwar Ibrahim.

Beliau juga mewakili perbendaharaan negara dalam lembaga pengarah BNM.

Beliau berkata mengetahui mengenai kerugian BNM daripada urus niaga forex kerana ia menjadi pengetahuan umum. Lembaga pengarah bank pusat sudah bertanya mengenai perkara itu kepada gabenor ketika itu Jaffar Hussein dan hanya dibincangkan dalam satu mesyuarat.

“Pengurusan BNM memberikan laporan audit dalaman kepada lembaga pengarah.

“Saya kemudian menerima surat daripada gabenor (ketika itu) Jaffar yang meminta saya menghantar surat kepada kerajaan, meminta sokongan kepada BNM sekiranya bank pusat mengalami kesulitan yang membawa kerugian.

“Saya menulis surat bertarikh 16 Mac 1994 kepada Jaafar, mengesahkan kerajaan akan memberikan sokongannya.”

2.24pm: Prosiding diteruskan.

1:05pm: Sesi ditangguhkan dan akan bersambung semula

12:30pm: Pengerusi RCI Mohamad Sidek Hassan mempersoalkan Lin tentang bagaimana Jaffar, yang dikatakannya “seorang yang konservatif dan dihormati”, boleh mengabaikan amaran dan membenarkan kerugian forex terkumpul dengan jumlah yang besar.

“Hanya keuntungan yang dilaporkan kepadanya secara kerap. Beliau sangat gembira. Saya katakan kepadanya bukan begitu cara kami beroperasi. Ia bukan kerana kami tidak memberi amaran, tetapi atas sebab tertentu saya tidak dapat menjelaskan sepenuhnya, yang saya tahu adalah semua keuntungan dilaporkan kepadanya.

“Beliau sangat gembira dengan operasinya, walaupun Siew Kuan melaporkannya, beliau tidak mempercayainya.”

11:23am: Prosiding diteruskan.

Lin berkata beliau dipanggil bertemu dengan bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan Anwar Ibrahim berhubung kerugian itu.

“Anwar tidak berpuas hati dengan kerugian yang berlaku dan bersetuju dengan saya dan sebarang urus niaga yang masih ada harus ditutup secepat mungkin.”

Lin memberitahu panel yang Jaffar tahu bank mengalami kerugian forex, tetapi tidak tahu jumlah sebenar dan butiran urus niaga itu. Lin, Lee dan Murad kemudian mendapatkan senarai transaksi individu daripada Nor Mohamed.

“Saya terkejut bila lihat senarai itu. Kita terlalu jauh ke masa depan dengan jumlah yang besar, di mana ia akan menyebabkan kerugian lebih banyak. Saya beritahu gabenor kita perlu tutup. Bukan saja untuk kita, tetapi untuk pihak lain.”

Bila ditanya oleh ahli panel Saw Choo Boon bagaimana mungkin Lin tidak tahu mengenai operasi forex, Lin berkata situasi kewangan bank itu secara keseluruhan tidak menunjukkan tanda masalah.

“Saya memantau penanda aras di mana forex mungkin terjejas, tetapi semuanya nampak baik.”

Saksi kedua bekas timbalan gabenor BNM Lin See-Yan dipanggil memberi keterangan hari ini berhubung kerugian forex bank pusat itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 30 Ogos, 2017.

Lin berkata beliau percaya Jaffar sudah pasti menutup semua transaksi jika mengetahui mengenai jumlah kerugian itu lebih awal.

“Saya harap saya tahu lebih awal. Saya kenal sangat dengan Jaffar. Beliau orang yang terhormat dan berniat baik. Saya rasa beliau tidak berjaga-jaga dan tidak tahu apa yang berlaku.”

10:40am: Prosiding berhenti rehat 40 minit.

10:02am: Saksi kedua bekas timbalan gabenor BNM Lin See-Yan dipanggil memberi keterangan.

Lin yang bertugas dari 1980 hingga Julai 1994 berkata bahagian urus niaga forex di bank pusat itu ditubuhkan pada 1960-an dan diletakkan di bawah tanggungjawab pengurus dan penasihat jabatan perbankan.

“Saya tidak ada peranan dalam operasi terperinci urus niaga forex oleh BNM,” kata Lin.

Katanya, kali pertama beliau tahu mengenai kerugian urus niaga itu menerusi penasihat BNM Lee Siew Kuan pada awal 1990-an, dan juga “kawan dari IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa)”.

Lin berkata beliau kemudian berjumpa Jaffar yang kemudian mengesahkan berita kerugian itu.

“Jaffar beritahu saya Nor Mohamed Yakcop ketua peniaga. Saya beritahu dia, memandangkan dia tidak tahu jumlah kerugian, dia perlu siasat butiran kerugian. Jaafar setuju dan saya rasa Lee Siew Kuan dengan bantuan Murad yang menjalankan siasatan.

“Daripada hasil siasatan, saya diberitahu oleh Lee Siew Kuan dan Murad yang BNM mempunyai kedudukan terbuka dalam pelbagai mata wang asing, dan ini bermakna bank akan kerugian lebih banyak lagi.

“Pada saya, risiko itu tidak boleh diterima.

“Saya beritahu gabenor, Nor Mohamed tidak boleh dibenarkan berurus niaga lagi dan Murad patut ambil alih.”

Lin berkata Jaffar kemudian berkata “Saya yang menyebabkan bank jadi kecoh seperti ini dan saya akan selesaikan”.

9:30am: Ketika ditanya oleh ahli panel K. Pushpanathan berhubung kedudukannya sebagai penasihat di jabatan akaun BNM, Lee berulang kali menafikan menjadi ahli mana-mana jawatankuasa berkaitan urus niaga forex di bank pusat itu dan turut menafikan menjadi penasihat Jawatankuasa Simpanan Luar (ERC).

Bekas pembantu khas bank kepada gabenor Lee Siew Kuan dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pertama pendengaran Suruhanjaya Siasatan Diraja hari keempat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 30 Ogos, 2017.

Ketika didesak soalan siapa bertanggungjawab terhadap jabatan akaun sepanjang beliau di BNM, Lee berkata tidak pasti tetapi ia “mungkin salah seorang timbalan atau penasihat”.

9:45am: Ahli panel Tajuddin Atan bertanya adakah Jaffar hanya mengetahui mengenai kerugian itu daripada Lee.

“Bila saya beritahu beliau (Jaffar) saya rasa dia terkejut. Saya rasa beliau tidak tahu jumlahnya. Beliau tidak percaya.”

10:00am: Saksi selesai beri keterangan.

9:15am: Lee berkata Jaffar “terkejut” ketika diberitahu mengenai kerugian forex itu, di mana beliau anggarkan kira-kira “RM9 bilion”.

“Beliau (Jaffar) terkejut. Saya beritahu beliau saya hanya melaporkan kepadanya kerana tidak ada orang lain yang laporkan, jadi beliau boleh ambil tindakan.

“Ia benar-benar kira-kira RM9 bilion. Gabenor itu berkata ‘Boleh awak tolong saya?’ dan saya tanya mengapa?

“Beliau kata, ‘Tolong beritahu ketua audit’. Jadi saya jumpa ketua audit negara (Ishak Tadin) dan beritahu beliau, ‘Saya rasa kita kerugian besar dalam BNM. Dan saya rasa ia kira-kira RM9 bilion. Gabenor minta saya ke sini dan beritahu mengenainya. Untuk selamatkan reputasi Malaysia. Selamatkan negara’.”

9:05am: Saksi pertama dipanggil, Lee Siew Kuan merupakan pembantu khas bank kepada gabenor BNM, adalah pegawai kontrak yang ditugaskan memeriksa akaun bank pusat itu.

“Saya tidak ingat tahunnya tetapi (gabenor BNM) Jaffar Hussein memberitahu saya untuk melihat akaun BNM.

“Terdapat kerugian besar yang dialami BNM daripada urus niaga forex dan gabenor memberitahu saya memeriksa semua akaun itu,” kata Lee.

Lee berkata beliau memaklumkan kepada kerajaan mengenai kerugian itu, tetapi “kerajaan tidak mempercayai kerugian sebanyak itu”. – 30 Ogos, 2017.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen