Razak kekasih Altantuya, bapa beritahu mahkamah


Alfian Z.M. Tahir

Sharriibuu Setev (tengah) dilihat di kompleks mahkamah pada Rabu. Beliau memaklumkan Altantuya berkata kekasihnya bersama Razak adalah 'orang besar' di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2019.

SHAARIIBUU Setev, bapa penterjemah Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini yang anak perempuannya itu menyifatkan individu bernama Razak yang ditemui di Malaysia 12 tahun lalu sebagai “orang besar”.

Shaariibuu juga memberitahu mahkamah Razak adalah kekasih Altantuya.

“Dia memberitahu saya lelaki bernama Razak ini adalah ‘orang besar’ di Malaysia. Dia kemudian berkata Razak adalah kekasihnya,” kata profesor bersara itu kepada mahkamah.

Shaariibuu yang berusia 69 tahun kemudiannya mendedahkan beliau menemui tiket penerbangan sudah dibayar untuk anak perempuannya di dalam beg tangannya serta resit barang kemas bernilai RM11,300 daripada dompetnya.

Beliau menambah terdapat juga surat ditandatangani oleh Altantuya yang menyatakan beliau menerima AS$18,000 daripada seorang lelaki bernama Abdul Razak Baginda pada 2 Mac 2006.

“Saya mendapati tiket penerbangan udara sudah berbayar di dalam beg, resit barang kemas dan surat yang ditandatangani oleh anak perempuan saya yang menyatakan dia menerima AS$18,000 daripada seorang lelaki bernama Abdul Razak Baginda,” katanya.

Ditanya mengenai latar belakang pendidikan dan pekerjaan Altantuya sebelum kematiannya, Shaariibuu mengatakan anak perempuannya fasih berbahasa Rusia dan Perancis serta mempunyai ijazah dalam pengajian bahasa asing di universiti Mongolia.

Shaariibuu menambah anak perempuannya adalah penterjemah bebas sebelum dibunuh di Malaysia.

Shaariibuu memberi keterangan dalam kes saman RM100 juta yang difailkan menentang kerajaan Malaysia berhubung pembunuhan Altantuya.

Saman yang menuntut ganti rugi itu difailkan pada 2007.

Perbicaraan berterusan pada hari Isnin.

Dalam tuntutan saman, keluarga mengatakan kematian Altantuya menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, yang melayakkan mereka ganti rugi tauladan dan kerosakan teruk.

Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada 2006, tetapi dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Oktober 2008 tanpa disuruh membela diri, manakala Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan pada 2009 .

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka daripada pertuduhan itu.

Bagaimanapun, pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Ia mendapati Sirul Azhar dan Azilah bersalah dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.  – 25 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen