Tiada gunanya sokong Umno lagi, kata Dr Mahathir kepada pengundi Orang Asli


Sheridan Mahavera

Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad mengingatkan para pengundi di Cameron Highlands situasi dialami Umno yang semakin hilang sokongan ahlinya sendiri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 25 Januari, 2019.

TIADA gunanya mengundi Barisan Nasional (BN) atau Umno kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad kerana pemimpin dan ahlinya sendiri sudah hilang keyakinan terhadap parti dan meninggalkannya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika turun berkempen untuk PH pada hari terakhir sebelum pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands esok.

Beliau memberitahu hadirin yang kebanyakannya terdiri daripada pengundi Orang Asli hari ini bahawa Umno kehilangan ramai anggota dan ahli Parlimen selepas gabungan itu hilang kuasa persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Pemimpinnya datang jumpa saya selepas kalah pilihan raya.

“Bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohamad Hassan, Zahid Hamidi datang jumpa selepas kalah. Dia kata nak kerjasama. Saya jawab balik, nak kerjasama untuk apa?” kata Dr Mahathir memberitahu orang ramai semasa berucap di Felda Sungai Koyan 1 di Jelai hari ini.

“Ahilnya berduyun-duyun keluar dan masuk PH. Ahli Umno sendiri tidak percaya pada parti.

“Orang Umno tolak Umno. Saya yakin Umno tiada masa depan. Jadi buat apa Orang Asli nak pilh Umno lagi?” kata Dr Mahathir, yang juga perdana menteri.

Umno agresif berkempen untuk BN di kalangan suku Semai di Jelai dengan harapan komuniti itu akan mengenang jasa kepada mereka 61 tahun lalu.

BN juga meletakkan calon Orang Asli, Ramli Mohd Nor untuk menentang M. Manogaran daripada PH. Turut bertanding adalah dua orang calon bebas.

PRK itu menyaksikan pertempungan di antara calon BN Ramli Mohd Nor, M Manogaran daripada PH dan dua calon bebas, guru Sallehudin Abd Talib dan petani Wong Seng Yee.

Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin tertinggi Pakatan Harapan semasa berkempen bertemu pengundi di Felda Sungai Koyan 1 di Jelai, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 25 Januari, 2019.

Orang Asli membentuk 21.9% daripada jumlah keseluruhan pengundi di Cameron Highlands dan pada PRU14, hanya kira-kira 10% daripada mereka mengundi PH.

Pakar strategi PH berkata gabungan pemerintah perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya 30% daripada komuniti jika mereka berharap untuk menang esok.

Turut didedahkan, selepas kehilangan kuasa, Zahid dan Mohamad pergi menemui Dr Mahathir untuk membincangkan kemungkinan hubungan antara Umno dan kerajaan PH.

Bagi mengukuhkan pendapatnya tiada guna mengundi BN, Dr Mahathir berkata gabungan parti pembangkang berbohong kepada Orang Asli apabila ia mendakwa dapat membantu komuniti itu.

“Dia nak tipu Orang Asli dengan letak calon Orang Asli. Tapi macam mana orang yang hutang keliling pinggang nak tolong kamu?”

Dalam kempennya sepanjang dua minggu lalu, kerajaan BN Pahang mendakwa ia masih dapat membangunkan komuniti ini walaupun tidak selaras dengan kerajaan persekutuan yang dikawal oleh PH.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan Pahang berhutang kepada kerajaan persekutuan sebanyak RM3.1 bilion dan mencatatkan defisit belanjawan sejak 2014. – 25 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen