59 maut korban banjir, tanah runtuh di Indonesia


Kira-kira 3,400 penduduk di Sulawesi dipindahkan dari rumah masing-masing dan ditempatkan di pusat pemindahan di sekolah, masjid dan khemah. – Gambar EPA, 25 Januari, 2019.

BANJIR dan tanah runtuh di Indonesia setakat ini menyebabkan sekurang-kurangnya 59 terbunuh, kata kerajaan hari ini, selepas hujan lebat melanda kepulauan Sulawesi dan menyebabkan ribuan penduduk meninggalkan rumah masing-masing.

“Saya tidak pernah lihat sesuatu seburuk ini, kali ini paling teruk,” kata ketua agensi bantuan bencana Sulawesi Selatan Syamsibar, menambah 25 orang masih hilang.

Susulan hujan lebat, sungai melimpah dan merobohkan tebing, membanjiri berpuluh-puluh masyarakat di 11 daerah selatan Sulaesi. Sebahagian ibu kota Makassar turut terjejas.

Daerah Gowa paling teruk terjejas dengan 44 ditemui maut, kata Syamsibar.

Kira-kira 3,400 penduduk dipindahkan dari rumah masing-masing dan ditempatkan di pusat pemindahan di sekolah, masjid dan khemah.

Pasukan penyelamat dan penduduk meredah jalan yang dinaiki air separas pinggang, dengan sebahagiannya membawa barangan mereka di atas kepala.

Pihak berkuasa berkata banjir mulai surut tetapi kesan daripada bencana itu jauh lebih teruk, memusnahkan rumah, bangunan kerajaan, sekolah dan jambatan.

Tanah runtuh dan banjir sering berlaku di Indonesia, terutama pada musim monsun antara Oktober dan April, ketika hujan lebat melanda kepulauan Asia Tenggara.

Pada Oktober, banjir kilat dan tanah runtuh menyebabkan sekurang-kurangnya 22 terbunuh di seluruh kepulauan Sumatera. – AFP, 25 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen