Altantuya beritahu ayah ingin ke KL bertemu Razak


Alfian Z.M. Tahir

Dr Shaariibuu Setev semasa hadir di Kompleks Mahkamah Shah Alam semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2019.

WARGA Mongolia dibunuh, Altantuyaa Shaariibuu memberitahu ayahnya Shaariibuu Setev beliau terpaksa ke Malaysia untuk bertemu dengan seorang lelaki bernama Razak, Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu hari ini.

Bagaimanapun, Shaariibuu menjelaskan beliau tidak diberitahu oleh anak perempuannya nama penuh lelaki yang ditemui pada Oktober 2006.

“Sebelum perjalanan ke Malaysia, saya bertemu dengan anak perempuan saya dan bertanya mengapa beliau ke Malaysia dan siapa yang akan ditemui.”

“Beliau berkata ingin bertemu seorang lelaki bernama Razak, tetapi tidak memberitahu saya sama ada Najib Razak atau Razak Baginda. Beliau juga berkata mahu mendapatkan bantuan untuk rawatan anaknya,” kata Shaariibuu ketika disoal oleh peguam Ramkarpal Singh.

Ditanya oleh Ramkarpal sama ada beliau mengetahui bagaimana rupa Razak semasa perbualannya dengan Altantuya, Shaariibuu yang merupakan seorang profesor bersara berkata “tidak”.

Shaariibuu kemudian meneruskan bahawa sambil bercakap tentang Razak, anak perempuannya ke tandas dan beliau mengambil peluang memeriksa beg tangannya ketika telefon bimbitnya berbunyi.

“Beliau pergi ke tandas dan tiba-tiba telefonnya berdering. Saya membuka begnya dan melihat gambarnya dengan dua lelaki,” kata Shaariibuu.

Shaariibuu kemudian bertanya Altantuya, siapa kedua-dua lelaki itu, dan menjawab mereka adalah lelaki yang sepatutnya ditemui di Kuala Lumpur.

Shaariibuu memberi keterangan dalam pendengaran saman RM100 juta beliau terhadap kerajaan Malaysia berhubung pembunuhan Altantuya. Saman itu menuntut ganti rugi dan difailkan pada 2007. – 25 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen