Korban letupan paip minyak di Mexico cecah 100 orang


Kerja mencari mangsa hilang dalam letupan akibat kebocoran saluran paip minyak di Tlahuelilpan, Hidalgo masih dijalankan. – Gambar EPA, 25 Januari, 2019.

JUMLAH korban dalam tragedi letupan saluran paip minyak di Mexico meningkat kepada 100 orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Institut Keselamatan Sosial Mexico (IMSS) pada Khamis.

Angka kematian meningkat selepas empat lagi mangsa yang cedera parah dalam insiden pada 18 Januari di bandar Tlahuelilpan, Hidalgo, meninggal dunia pada lewat Rabu dan awal Khamis.

Mereka dirawat di sebuah unit perubatan khas di pusat bandar Mexico bersama-sama lima mangsa yang terselamat dan masih menerima rawatan di sana manakala 10 orang lagi ditempatkan di dua hospital yang dikendalikan oleh IMSS.

“Secara keseluruhan, Institut Keselamatan Sosial terus menyediakan rawatan perubatan kepada 11 mangsa yang cedera dalam insiden letupan saluran paip itu,” menurut agensi itu dalam satu kenyataan.

Sejumlah mangsa lagi menerima rawatan di hospital sekitar pusat bandar Mexico, dan beberapa orang dibawa ke sebuah hospital di bandar Galveston, Texas di Amerika Syarikat yang mengkhusus dalam rawatan kepada mangsa luka terbakar.

Letupan dan kebakaran berlaku di sebuah saluran paip di komuniti San Primitivo dalam perbandaran Tlahuelilpan pada 18 Januari.

Menurut kerajaan tempatan, antara 600 dan 800 orang berkumpul di lokasi itu untuk menadah serta mengambil minyak yang bocor apabila letupan berlaku.

Pihak berkuasa berkata kebocoran saluran paip itu berlaku susulan kegiatan mencuri minyak, satu masalah yang menyebabkan negara itu mengalami kerugian sebanyak AS$3 bilion tahun lepas. – Bernama, 25 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen