Sydney tahan 4 lelaki bawa dadah AS$54 juta dari Malaysia


EMPAT lelaki ditahan di Sydney pada Khamis berhubung satu penghantaran dadah jenis heroin bernilai AS$54 juta yang tiba di negara itu pada awal tahun ini, lapor agensi berita China Xinhua.

Penghantaran itu tiba di lapangan terbang Sydney dari Malaysia dan dirampas oleh kakitangan Pasukan Sempadan Australia (ABF) yang perasan tentang kelainan tong mengandungi barangan kraf tangan diperbuat daripada kayu.

Rampasan itu terdiri daripada sejumlah 400 blok heroin seberat 154kg.

“Ia rampasan heroin terbesar di Australia dalam tempoh 10 tahun,” kata superintenden ABF Garry Low.

Berusia lingkungan 23 hingga 31 tahun, semua lelaki yang ditahan merupakan warga asing dan mereka dijangka didakwa secara rasmi pada Jumaat.

“Kami akan mendakwa dalam siasatan bahawa suspek melakukan perjalanan ke negara ini untuk mengedarkan dadah dalam kuantiti yang besar,” kata Pemangku Penolong Pesuruhjaya Stuart Smith kepada media tempatan.

Semasa serbuan dilakukan di seluruh bandar itu pada Khamis, polis turut menemui sejumlah 35kg metamfetamin.

“Pada dasarnya, sejumlah dadah bernilai lebih AS$75 juta akan dijual di jalanan,” kata Smith. – Bernama, 25 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen