Pulau Pinang ditadbir baik walau saya ke penjara, kata Guan Eng


Looi Sue-Chern

JIKA Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dipenjarakan kerana dakwaan rasuah dan salah guna kuasa yang dihadapinya, ini yang akan berlaku dalam masa 24 jam: Tiada apa-apa yang luar biasa.

Penggantinya, Chow Kon Yeow, akan bergerak ke tingkat 28 bangunan Komtar dan menduduki Pejabat Ketua Menteri dan mengadakan mesyuarat anggota exco kerajaan negeri untuk membincangkan pelbagai isu, daripada pengangkutan hingga tanah.

Tiada gempa susulan selepas penahanan Lim, peralihan kuasa akan menjadi lancar dan pentadbiran negeri dalam keadaan baik. Sekurang-kurangnya itulah yang diharapkan ketua menteri akan berlaku.

Hakikatnya, ketiadaan beliau boleh menjejaskan kerajaan pimpinan DAP. Semasa mengisytiharkan Pulau Pinang sebagai “kerajaan negeri terbaik di Malaysia” dan mempunyai beberapa statistik bagi membuktikannya, ia juga fakta yang gaya mikro pengurusan beliau mendorong beberapa pembaharuan negeri.

Kebenarannya, tidak semua orang menyenangi gaya Lim yang berani, penuh keazaman, lantang dan ada masanya sombong. Malah anggota parti juga tertanya-tanya jika konfrontasi dengan media dan kumpulan lain memberi manfaat.

Tetapi pengkritik beliau mengakui sikap tegas dan dalam membuat keputusannya membantu Pulau Pinang ke depan, bukannya tenggelam dalam perbincangan tidak berkesudahan.

Chow bertentangan ketua menteri.

Beliau berbudi bahasa dan diplomatik.

Namun, dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insight , Guan Eng menegaskan: “Kami mempunyai pasukan yang bagus, kecuali satu atau dua ingkar, tetapi saya fikir kita ada kerajaan negeri terbaik di Malaysia.

“Negeri ini di bawah kepimpinan yang baik.”

Lim berkata kejayaan Pulau Pinang sejak sembilan tahun lalu adalah hasil “kerja berpasukan orang yang bekerja keras”.

Senarai pencapaian

Lim, seorang graduan ekonomi dan akauntan bertauliah, menceritakan pencapaiansejak mengambil alih kuasa negeri itu daripada Barisan Nasional pada 2008.

Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, Pulau Pinang memperkenalkan tender terbuka untuk projek kerajaan, mencatatkan lebihan belanjawan tahunan sehingga RM500 juta dalam tempoh lapan tahun, hutang negeri dikurangkan sebanyak 90% dan menarik pelaburan dalam dan luar negara bernilai RM55 bilion antara 2008 dan 2015.

Pentadbiran menaikkan bantuan wang tunai untuk sekolah tidak dibiayai sepenuhnya oleh Putrajaya dan memperkenalkan beberapa skim kebajikan – mengagihkan lebih RM400 juta kepada 1.6 juta rakyat dan sekolah setakat ini.

Pembiayaan untuk pembangunan hal ehwal Islam juga meningkat dan Hab Halal Antarabangsa Pulau Pinang – kini bernilai RM484.2 juta dalam pelaburan – ditubuhkan pada 2008.

Terdapat juga pembangunan pesat bidang hartanah seperti kediaman dan komersil, sebuah taman tema bertaraf dunia, pusat konvensyen, hotel, ruang rekreasi awam dan projek mega lain termasuk projek penambakan seperti dicadangkan Pulau Pinang Selatan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai berbilion ringgit.

Manakala cabang pelaburan negeri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan pemaju hartanah lain membina rumah mampu milik, kerajaan memperkenalkan Dana Perumahan Awam Mampu Milik bernilai RM500 juta dan bekerjasama dengan pemaju untuk memulihkan projek terbengkalai, seperti rumah fasa 2A Majestic Heights di Paya Terubong.

Pelancongan juga berkembang dengan penyenaraian George Town sebagai warisan dunia oleh Unesco pada 2008, pembangunan semula destinasi pelancongan seperti Bukit Bendera, dan sokongan bidang seni dan perkembangan kebudayaan dalam bentuk Festival George Town yang terkenal di dunia, Butterworth Fringe Festival dan cadangan projek District Arts Pulau Pinang bernilai RM30 juta.

“Orang ramai boleh lihat, sentuh dan rasa perubahan yang positif ... orang yang saya temui memberitahu bagaimana berbangga mereka merasakan dengan semua transformasi.”

Bersedia hadapi segala kemungkinan

Lim juga merasakan, pengakhirannya semakin hampir. Orang ramai tidak berbicara mengenai tarikh perbicaraannya di depannya tetapi di tempat lain, ia dibincangkan secara terbuka.

Yang pasti, beliau akan melalui masa sukar bagi menentang dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Jun lalu, Lim didakwa menerima suapan untuk dirinya dan isteri, Betty Chew, dengan meluluskan penukaran dua lot tanah pertanian milik Magnificent Emblem kepada pembangunan kediaman ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri pada 18 Julai 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Lim juga menghadapi satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan dengan membeli banglo Pinhorn Road – rumah peribadi beliau – daripada ahli perniagaan Phang Li Khoon dengan harga RM2.8 juta, di bawah nilai pasaran RM4.27 juta pada 28 Julai 2015. Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Phang, bekas tuan tanah Lim didakwa bersubahat dan menghadapi hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah. Kes mereka sepatutnya dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang antara Mac dan 2017 bulan Julai, tetapi ditangguhkan sementara menunggu permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk mencabar Akta SPRM dan mengisytiharkan Seksyen 62 sebagai “tidak mengikut Perlembagaan dan tidak sah”.

Seksyen 62 menyatakan apabila pihak pendakwaan mengemukakan dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah, tertuduh hendaklah mengemukakan pernyataan pembelaan dan satu salinan sebarang dokumen yang boleh dibentangkan sebagai sebahagian daripada keterangan pembelaan, sebelum perbicaraan bermula.

Jika disabitkan, ini akan menjadi kali kedua Lim disabitkan atas kesalahan jenayah. Pada 1987, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan dipenjara setahun pada 1998 kerana menghasut selepas menuduh pendakwa melepaskan bekas ketua menteri Melaka yang didakwa merogol gadis bawah umur.

Menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan, beliau menegaskan ini adalah satu usaha Barisan Nasional (BN) untuk memerangkap beliau dengan “caj rekaan dan palsu” serta menghalang beliau bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

“Ini adalah sesuatu yang saya perlu terima sebagai sebahagian daripada perjuangan politik, tetapi kasihan kepada keluarga saya. Mereka paling kecewa dengan apa yang akan terjadi,” kata bapa kepada empat anak itu.

Bersedia berhadapan dengan segala kemungkinan, Lim  menyokong Chow Kon Yeow daripada DAP Pulau Pinang sebagai penggantinya.

Chow, 58, bekas wartawan The National Echo dan setiausaha politik kepada veteran DAP Lim Kit Siang – memimpin DAP Pulau Pinang sebagai pengerusi sejak 1999, dan merupakan seorang lima naib pengerusi DAP terkini.

Beliau adalah ahli Parlimen Tanjong (1999-2013) dan sejak 2008 menjadi Adun Padang Kota dan exco kerajaan tempatan, pengurusan lalu lintas dan tebatan banjir – sebahagian daripada portfolio paling kritikal.

Lim berkata beliau dan Chow rapat, dan mereka saling melengkapi serta mempercayai satu sama lain.

“Kadang-kala Chow menegur jika saya terlalu cepat tetapi apabila kita perlu bergerak dengan pantas, beliau mampu mempercepatkan langkahnya.

“Ya, beliau boleh membawa Pulau Pinang ke tahap lebih tinggi bersama pasukan. Kami mempunyai kestabilan politik dan matlamat dan arah yang sama.”

Ketua menteri seterusnya

Exco Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan Chong Eng berkata ahli DAP sudah biasa berhadapan masa sukar dan berfungsi di bawah tekanan, jadi beliau percaya Chow akan menjadi pemimpin efektif di Komtar.

“Chow mengetuai DAP Pulau Pinang sejak akhir 1990-an, dan walaupun begitu, pemimpin kanan parti sudah boleh melihat potensi dan meramalkan beliau akan pergi jauh.

“Beliau memegang jawatan exco paling kanan di bawah kepimpinan Lim, jadi saya yakin Chow akan menjadi ketua menteri yang efektif, walaupun gaya kepimpinan sangat berbeza,” kata veteran DAP.

Timbalan Ketua Menteri (I) Mohd Rashid Hasnon berkata, semua exco dijangka terus bekerja keras sebagai satu pasukan dengan Lim, Chow atau sesiapa sahaja yang mengambil alih.

Tumpuan, katanya, membawa Pulau Pinang ke depan dalam tempoh lima tahun akan datang dan menegakkan agenda reformasi Pakatan Harapan.

“Kami mempunyai sembilan tahun pengalaman dalam kerajaan, dan setiap exco diberikan portfolio masing-masing-masing oleh ketua menteri.

Tiada perubahan besar

Pembangkang BN negeri membincangkan pembangunan terlalu pesat, cadangan projek penambakan, jualan tanah dan kes penggondolan bukit secara haram. Mereka menjangkakan ketua menteri baru mengikuti strategi Lim.

Ketua Pembangkang Pulau Pinang Jahara Hamid berkata: “Jika seorang kapten baru datang, maka saya harap beliau dapat memimpin dengan lebih baik, dan tidak terlalu cepat mengambil laluan berbahaya yang boleh menyebabkan kapal tenggelam di pertengahan jalan.”

Wakil rakyat Pulau Betong Muhamad Farid Saad berkata ketua menteri baru akan “ikut kehendak keluarga Lim”, tetapi beliau percaya Lim mungkin masih menjadi ketua menteri untuk masa yang lama.

“Kes mahkamahnya boleh berlarutan, walaupun selepas pilihan raya umum ke-15 datang dan pergi, jadi beliau masih boleh kekal sebagai ketua menteri dan Chow perlu menunggu masa yang lama,” kata wakil rakyat tiga penggal BN itu. – 4 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen