Pelapor khas PBB ke Turki siasat kes bunuh Khashoggi


Pelapor Khas PBB, Agnes Callamard akan berada di Turki dari 28 Januari hingga 2 Februari bagi menyiasat mengenai kes pembunuhan Jamal Khashoggi. – Gambar AFP, 25 Januari, 2019.

PELAPOR khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Agnes Callamard, akan ke Turki minggu depan untuk menyiasat pembunuhan wartawan Arab Saudi Jamal Khashoggi, kata pejabatnya pada Khamis.

Jurucakap pejabat hak asasi manusia PBB, Jeremy Laurence, mengesahkan perjalanan itu 28 Januari hingga 2 Februari itu dalam e-mel kepada AFP.

Bagaimanapun, Ketua Human Rights Watch, Kenneth Roth, memberitahu AFP di Davos bahawa pemergian ke Turki itu tidak memenuhi keperluan segera bagi siasatan PBB kerana Callamard, seperti semua pelapor khas, adalah pakar bebas dan tidak dibayar yang tidak bercakap bagi pihak badan dunia itu.

“Kita berdepan kebuntuan dengan kes Khashoggi. Terdapat banyak bukti yang menunjukkan ia diarahkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman,” kata Roth.

“Langkah seterusnya yang kita nanti adalah siasatan PBB, dan (Setiausaha Agung PBB Antonio) Guterres terdesak untuk mengelakkan perkara ini kerana beliau tidak mahu menyinggung perasaan Arab Saudi.”

Callamard “hanya seorang pelapor khas. Beliau bukan PBB. Jadi ia tidak akan mempunyai kuasa yang sama,” kata Roth.

Tetapi beliau menyuarakan harapan kunjungan itu akan menjadi langkah untuk mengetahui “siapa yang mengarahkan” pembunuhan tersebut.

Khashoggi, kolumnis di Washington Post, dibunuh pada 2 Oktober di Turki, yang disifatkan Arab Saudi sebagai operasi “penyangak” operasi, menjerumuskan kerajaan kepada salah satu krisis diplomatik paling buruk. – AFP, 25 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen