Di PRK Cameron, kematian Adib, calon India jauhkan Melayu dari Pakatan


Sheridan Mahavera

KAMARULZAMAN Yunus sukar untuk meyakinkan jiran-jirannya di Kampung Beletik, pedalaman ladang getah di Jelai, supaya mengundi Pakatan Harapan (PH) kerana calonnya ialah M Manogaran.

“Mereka cakap kalau calon bukan India, mereka tidak ada masalah undi PH. Tetapi sebab dia India, mereka tidak mahu undi dia,” katanya yang juga aktivis Amanah, parti komponen PH yang bertanggungjawab berkempen di kampung itu.

The Malaysian Insight dengar perkara sama di seluruh perkampungan Melayu di DUN Jelai, kawasan ramai Melayu yang menjadi sebahagian daripada kerusi Parlimen Cameron Highlands. Jelai menyediakan 93% undi Melayu di Cameron Highlands, menurut pakar strategi PH Dr Ong Kian Ming.

“Kawan saya cakap sebab calonnya India, dia tidak akan pulang ke kampung untuk mengundi,” kata seorang lagi aktivis PH di Felda Sungai Koyan Dua, menggambarkan betapa sukarnya mendapatkan sokongan dalam kalangan 2,800 peneroka di Jelai.

Walaupun kebimbangan seperti harga minyak sawit dan getah jatuh serta elaun sara hidup untuk peneroka Felda menjadi isu utama yang menjauhkan pengundi Melayu daripada PH, serangan perkauman terhadap Manogaran menjejaskan mereka yang bersedia untuk beri peluang kepada kerajaan.

Perbualan dengan 10 pengundi Melayu di Jelai, mereka memberitahu The Malaysian Insight etnik Manogaran akan menjejaskan kemampuan PH mendapatkan undi Melayu di Cameron Highlands yang membentuk 33.7% undi.

Semua yang ditemui itu adalah penyokong PH, Barisan Nasional, aktivis PAS dan pengundi lain yang mengesahkan identiti Manogaran jadi bahan bualan dalam kalangan penduduk tempatan bila mereka berdebat siapa yang patut diundi pada 26 Januari ini.

Dalam pilihan raya kecil di mana kemenangan PH bergantung pada peningkatan sokongan Melayu daripada 9% kepada 30%, retorik perkauman terhadap pentadbiran boleh memberikan perbezaan kecil tapi cukup penting, kata penganalisis politik Mohd Azlan Zainal dari Ilham Centre.

“Ia sudah pun membawa perasaan negatif terhadap PH selain kebimbangan isu ekonomi,” kata Azan yang juga pengarah eksekutif Ilham Centre.

Sembang kedai kopi dan risalah

PRK Cameron Highlands ditandingi oleh Manogaran, Ramli Mohd Nor daripada BN dan calon bebas Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib.

Menurut aktivis politik, kaum Manogaran menjadi sasaran politik selepas kematian pegawai bomba Muhammad Adib Mohd Kassim pada Disember lalu. Adib meninggal dunia akibat kecederaan serius selepas dikatakan diserang dalam rusuhan di luar kuil Hindu.

Calon PH di PRK Cameron Highlands M Manogaran menjadi sasaran serangan perkauman dan dikaitkan dengan kematian pegawai bomba Muhammad Adib Mohd Kassim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2019.

Seorang aktivis PAS di Kampung Keledek memberitahu The Malaysian Insight kaum Manogaran jadi faktor menolak kerana kematian Adib.

Walaupun kerajaan mengadakan inkues terhadap kematiannya, tetapi bagi kebanyakan Melayu di Jelai, Adib dipukul teruk oleh belia India.

“Kerana pembunuh Adib belum ditangkap, ia mengesahkan syak wasangka mereka bahawa kerajaan PH berpihak kepada bukan Melayu,” kata seorang pegawai PAS yang enggan dikenali.

Retorik perkauman menjadi cara kempen BN menentang PH dan sering menggambarkan gabungan pembangkang sebagai anti Melayu dan anti Islam, dengan kebanyakannya menyasarkan kepada parti komponen PH, DAP.

Tetapi di Cameron Highlands, malangnya retorik perkauman itu disasarkan secara langsung kepada Manogaran.

Apa yang bermula sebagai sembang kedai kopi dalam kalangan penduduk mencetuskan kempen rasmi ketika tempoh berkempen hampir tamat malam tadi. Risalah yang cuba mengaitkan Manogaran dengan kematian Adib turut ditemui di masjid di Kampung Keledek.

Manogaran juga cuba menangani perkara itu dalam ceramah pada 23 Januari di mana beliau mendakwa BN menggunakan isu itu terhadapnya.

Aminuddin Abdul Jalil, seorang pengarah kempen PH di daerah mengundi Lubuk Kulit berkata berbanding Melayu bandar, yang lebih tahu tentang politik serta terdedah dengan kaum lain, sukar untuk melakukan tindakan balas isu perkauman dalam kalangan Melayu di kawasan pedalaman.

“Mereka tidak begitu berhubung dengan dunia luar dari kampung kerana masyarakat mereka terpencil,” katanya daripada parti Amanah.

“Contohnya kematian Adib, mereka tidak tahu pun konteks bagaimana ia berlaku dan kerana sibuk mencari rezeki sehari-hari, mereka tidak peduli pun hendak gali lebih dalam tentang isu itu.” – 25 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen