Bahang dari stadium hangatkan malam Malaysia kalah


Low Han Shaun

Wajah kecewa peminat bola sepak yang menonton perlawanan akhir Malaysia-Thailand di Bangsar malam tadi selepas Haziq Nadzli tertumbuk bola ke gawang sendiri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Ogos, 2017.

SENJA semalam hujan lebat di Bangsar, Kuala Lumpur dan azan Maghrib terdengar dilaungkan dari sebuah masjid berdekatan. Kalau tidak kerana perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA, senja yang basah itu akan terasa cukup suram.

Itulah magnet yang menarik orang ramai meredah hujan dan berhimpun untuk menyaksikan pasukan bola sepak mana yang akan meraih emas yang diberi julukan “ibu segala emas” pada temasya dwitahunan serantau ini.

Muhammad Adib Zainudin (tiga dari kiri) dipujuk rakan sepasukannya selepas Malaysia tewas di tangan Thailand dalam perlawanan akhir bola sepak lelaki Sukan SEA ke-29 di Stadium Shah Alam, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 30 Ogos, 2017.

Tiada apa-apa yang mereka hiraukan lagi: kontroversi salah bendera sudah dilupakan, kecoh jualan tiket di Shah Alam juga barangkali sudah dimaafkan dan tentunya, dingin hujan itu terasa lebih hangat dengan bahang yang berbara di stadium.

Kelompok di sebuah kedai mamak di Bangsar itu tampak cukup bersemangat. Anak semua bangsa duduk bersama di bawah satu bumbung bersorak sorai dan bertepuk tangan untuk Malaysia, sambil makan dan minum malah ada yang menghisap shisha, paip tembakau yang asal-usul boleh dikesan sampai ke zaman Empayar Mughal di India.

Siva Vijaya, 25, datang jauh dari Perak. Dia sampai di Kuala Lumpur pukul 6 petang, semata-mata untuk memberikan sokongan kepada skuad negara. Dia antara ribuan peminat sukan yang terpaksa pulang hampa selepas kekecohan semasa jualan tiket di Stadium Shah Alam pada Isnin.

“Saya kecewa sebab ramai orang yang potong barisan masa nak beli tiket. Saya awal-awal 7 pagi lagi sudah terpacak hendak beli tiket.

“Kali ini saya sudah siap sedia. Saya sampai sini tadi pun 6 petang, dengan kawan-kawan,” katanya.

Siva datang dengan 15 kawannya dan mereka yakin Malaysia akan merangkul emas. Kesilapan sebelum-sebelum ini mereka anggap sebagai “kesilapan kecil” dan jalan keluar terbaik untuk maju jaya ialah untuk pasukan Malaysia melupakan apa yang sudah berlaku.

Kharthik Kovalan, 25, kawan Siva berkata dia mahu melihat pemain kesukaannya N. Thanabalan beraksi.

“Ada ramai lagi kawan nak datang. Saya harap Malaysia boleh menang 1-0. Memang betul (selalunya) pasukan Malaysia ini tidak konsisten tetapi saya rasa kali ini kita semua mesti sokong pasukan kita,” katanya.

Semuanya elok-elok saja sejak sepak mula. Thailand kemudian membolosi gawang Malaysia pada separuh masa pertama. Ada suara ejekan “boooo” terdengar.

Tetapi bagi Salihin Mesmun, 34, dan kawan akrabnya sejak kecil Ammar Johari, 29, harapan masih ada.

“Saya harap pasukan kita boleh bersabar. Kita boleh,” katanya yang datang bersama kawan-kawan selepas habis kerja.

Salihin berharap orang ramai “dapat bertenang” dan tidak buat huru-hara macam di Stadium Shah Alam pada Isnin, sekiranya pasukan Malaysia kalah.

“Saya harap semua orang tidak ada yang gaduh-gaduh atau buat kecoh. Saya akan duduk di sini sampai 2 pagi kalau perlu untuk sokong pasukan negara,” katanya.

Ammar yang masih memakai pakaian kerja berkata dia dan Salihin kaki bola, dan minat dengan pemain tengah Azam Azih.

“Kami cuba dapatkan tiket tetapi habis. Apa pun jadi, kami akan tetap sokong pasukan Malaysia,” katanya.

Jam sudah menganjak ke pukul 10.30 malam. Thailand mengekalkan jaringan dan Malaysia pun terhukum. Tetapi bagi penonton di sebuah kedai mamak yang lain di Kepong, enjin baru saja hendak panas.

Lee Tze Qi, 28, yang berhimpun bersama kawan-kawannya sibuk mengupas apa yang salahnya dengan permainan Malaysia beberapa minit sebelumnya.

“Kalau tak hujan, mungkin ada peluang menang. Macam mana boleh kalah, sudah latihan semua.

“Mungkin hari hujan mengganggu penjaga gol. Saya tak tahu. Asalnya saya cukup yakin Malaysia boleh angkat emas untuk bola sepak,” kata gadis itu.

Temannya Lim Jia Wen, 25, mula menangis apabila wisel penamat ditiup menamatkan perlawanan dengan keputusan Thailand menang 1-0. Katanya, nasib tidak menyebelahi Malaysia.

“Tak apa. Malaysia sudah menang dalam acara lain tetapi saya memang hendak pasukan bola sepak kita menang,” katanya berlinang air mata.

Thailand mendapat gol yang dicari selepas penjaga gol Malaysia Haziq Nadzli tertumbuk bola ke gawang sendiri ketika cuba menangkis satu tendangan sudut.

Pertemuan akhir ini adalah ulangan perlawanan akhir Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur. Dengan kemenangan itu, Thailand mengekalkan penguasaan emasnya dalam acara bola sepak lelaki. Malaysia menang emas acara ini pada Sukan SEA 2011 di Jakarta. – 30 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen