PUTERA Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman Al Saud pada Khamis mengesahkan kepada Perdana Menteri Iraq, Adel Abdul Mahdi bahawa Saudi akan terus menyokong keselamatan dan kemakmuran berkekalan negara itu.
Kenyataan ringkas pejabat Mahdi menyatakan, putera mahkota itu menyampaikan perkara berkenaan sewaktu sesi perbualan telefon dengan perdana menteri terbabit.
Agensi berita Xinhua melaporkan, ketika perbualan itu, Mahdi mengalu-alukan usaha mengukuhkan hubungan dua hala antara dua negara terbabit dan menyampaikan salam beliau kepada Raja Arab Saudi, Salman bin Abdulaziz Al Saud.
Hubungan dua negara itu semakin baik sejak 2016 apabila Saudi membuka semula kedutaannya di Baghdad selepas Iraq menakluk Kuwait pada Ogos 1990.
Pada 25 Februari 2017, Menteri Luar Saudi, Adel al-Jubeir melawat Iraq, kunjungan pertama bagi pegawai kementerian luar ke negara Teluk itu sejak 1990.
Hubungan dua hala semakin akrab kerana kedua-dua negara mempunyai hubungan sejarah, kebudayaan, bahasa dan geografi yang rapat selain kesediaan untuk saling bekerjasama pada masa depan. – Bernama, 24 Januari, 2019
Komen