PASUKAN mencari dan menyelamat India menemui mayat pelombong “lubang tikus” pada Khamis, yang merupakan penemuan pertama sejak enam minggu lalu selepas 15 pelombong tertimbus di lombong arang batu haram di timur laut negara itu.
Mayat terbabit dikesan minggu lalu, selepas pasukan penyelamat menggunakan kenderaan alat kawalan jauh dan pakar selam untuk memasuki lombong yang ditenggelami air.
“Mayat berkenaan dikeluarkan dalam operasi bersama Tentera Laut India dan pasukan penyelamat NDRF pada jam 1300 hari ini,” kata pegawai pasukan penyelamat S.K.Singh kepada AFP ketika ditemui di lokasi.
“Mayat berkenaan diserahkan kepada pasukan perubatan. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk meneruskan pencarian.”
Pasukan penyelamat pada awalnya berdepan kesukaran untuk mengeluarkan mayat yang reput, walaupun menggunakan teknologi moden.
Enam anggota pasukan penyelamat memasuki lombong berkenaan pada Khamis menggunakan bot getah dan mengeluarkan mayat menggunakan plastik, lapor media tempatan.
Pelombong terbabit terperangkap sejak 13 Disember lalu selepas lombong haram itu ditenggelami air. – AFP, 24 Januari, 2019
Komen