Serangan bom terus berlaku di Syria


Perang Syria telah menyebabkan lebih 360,000 nyawa terkorban dan jutaan lagi hilang tempat tinggal sejak ia mula tercetus pada 2011. – Gambar EPA, 24 Januari, 2019

SERANGAN bom berlaku di timur laut ibu negara Syria pada Khamis yang merupakan serangan ketiga di kawasan yang dikuasai rejim dalam tempoh kurang daripada seminggu.

Agensi berita Sana melaporkan “pengganas bertindak mengebom kawasan Adawi dengan menggunakan bahan letupan yang diletakkan dalam sebuah kereta, menyebabkan kerosakan material, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.”

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, letupan berlaku berhampiran kedutaan utama sekutu kerajaan, Rusia.

Pemerhati yang berpangkalan di Britain itu berkata, empat orang mengalami kecederaan ringan.

Serangan terbaharu berlaku selepas letupan pertama di Damsyik dalam tempoh setahun, yang mana menurut pemerhati itu, “beberapa orang terbunuh dan mengalami kecederaan”.

Pada Selasa, letupan bom kereta menyebabkan seorang terbunuh di kawasan kubu kuat rejim di Latakia, menurut media negara itu.

Perang Syria telah menyebabkan lebih 360,000 nyawa terkorban dan jutaan lagi hilang tempat tinggal sejak ia mula tercetus pada 2011 dengan tekanan protes anti-kerajaan.

Dengan bantuan Rusia, pasukan Presiden Bashar al-Assad menawan semula sebahagian besar Syria daripada pasukan pemberontak dan kini menguasai dua pertiga daripada negara itu. – AFP, 24 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen