PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menerusi Twitter miliknya lewat Rabu berkata, beliau sedia menyampaikan ucapan negara di Kongres apabila kerajaan dibuka semula.
“Saya akan berucap apabila penutupan berakhir,” tulisnya di Twitter.
“Saya tidak mencari tempat lain untuk menyampaikan ucapan negara kerana tiada tempat lain yang boleh menandingi sejarah, tradisi dan kepentingan Kongres.”
Agensi berita Xinhua melaporkan, status itu menutup hari penuh dramatik selepas Trump dan Speaker Kongres, Nancy Pelosi bertelagah mengenai masa dan tempat untuk ucapan penting berkenaan.
Ketika mengangkat sumpah jawatan speaker pada 3 Januari lalu, Pelosi mempelawa Trump menyampaikan ucapan pada 29 Januari, sejajar dengan tradisi turun temurun negara itu.
Namun, apabila Trump terus menutup sebahagian fungsi kerajaan, speaker itu pada 16 Januari lalu mencadangkan supaya presiden menangguhkannya, merujuk kepada risiko keselamatan akibat penutupan kerajaan.
Awal Rabu, Trump memberitahu Pelosi beliau berhasrat “menerima jemputan itu” dan berucap pada 29 Januari seperti dirancang, tetapi ditolak Pelosi beberapa jam kemudian.
Bercakap kepada pemberita selepas Pelosi menolak cadangan terbabit, Trump mencadangkan supaya dicari tempat lain dengan khabar angin menyatakan lokasi ucapan itu adalah di penjuru barat daya bangunan Kongres.
Status Twitter Trump turut memberi gambaran beliau akhirnya memutuskan tunduk kepada cadangan Pelosi dan menunggu sehingga kerajaan dibuka semula, memberikan kemenangan politik untuk speaker itu.
Kerajaan AS ditutup sejak 34 hari lalu berpunca daripada perbalahan antara White House dengan Parti Demokratik berhubung pembiayaan pembinaan tembok sempadan AS-Mexico.
Kongres menolak beberapa cubaan badan legislatif untuk membuka semula kerajaan ketika jurang perbezaan antara kedua-dua belah pihak semakin buruk. – Bernama, 24 Januari, 2019.
Komen