Priyanka Gandhi bantu kempen parti Kongres India 


Priyanka Gandhi popular di kalangan pekerja parti dan pemerhati politik India.– Gambar EPA, 24 Januari, 2019

ANGGOTA Parti Kongres India mengalu-alukan kehadiran Priyanka Gandhi dalam arena politik, kerana pengaruhnya mampu memberikan kesan besar dalam kempen menjelang pilihan raya parlimen yang dijadual sebelum Mei.

Presiden parti Rahul Gandhi pada Rabu melantik kakaknya berusia 47 tahun itu untuk menyandang jawatan penting dalam usaha memulihkan semula kedudukan parti terutamanya di Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk. 

Priyanka, ibu kepada dua orang anak dan isteri ahli perniagaan Robert Vadra, popular di kalangan pekerja parti dan pemerhati politik, ramai menyifatkan beliau lebih sesuai berbanding Rahul untuk mengharungi suasana politik India yang amat mencabar. 

Ramai mengatakan Priyanka mirip kepada neneknya yang juga bekas perdana menteri Indira Gandhi.

“Semua di Kongres gembira dan teruja dengan berita itu,” kata Navjot Singh Sidhu, seorang menteri dalam Kerajaan Punjab.

Seorang lagi pemimpin Renuka Chowdhury mengatakan langkah yang diambil Rahul melantik kakaknya sebagai setiausaha agung parti amat strategik. 

“Apa yang dilakukan Rahul Gandhi langkah amat bijak,” katanya. 

Sementara itu, pemerhati politik beranggapan penglibatan Priyanka dalam kancah politik mampu memulihkan kedudukan parti dan memberikan masa depan lebih baik. 

“Parti itu menunggu masa sesuai untuk mengambil keputusan ini, jika ia dilakukan sebelum pilihan raya baru-baru ini, dia mungkin membayangi Rahul,” kata wartawan, Rasheed Kidwai.

Priyanka ditugaskan membantu parti di timur Uttar Pradesh khususnya di Veranasi, kawasan Perdana Menteri Narendra Modi yang menjadi kubu kuat ketua menteri Yogi Adityanath.

Populariti Kongres menurun semasa pilihan raya 2014 apabila Parti Bharatiya Janata (BJP) dan sekutunya menyapu bersih hampir kebanyakan kerusi Parlimen. – Bernama, 24 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen